Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives January 8, 2024

ARRIFIN DAN JEFRI DILANTIK TIMBALAN KETUA PENGARAH MSN SECARA RASMI

KUALA LUMPUR (8 Januari) – Majlis Sukan Negara mengumumkan pelantikan Arrifin Mohd Ghani dan Jefri Ngadirin sebagai Timbalan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara berkuatkuasa hari ini.

Arrifin, 55 tahun, dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Pengkomersialan dan Pemasaran) manakala Jefri, 51 tahun, sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Sukan).

Arrifin yang mempunyai ljazah Sarjana Muda Undang-Undang Universiti Teknologi Mara memulakan tugas di MSN pada 1995 sebagai Ketua Unit Hubungan Antarabangsa sebelum dilantik sebagai Ketua Unit Program Latihan Atlet pada 1998 dan Pengarah Cawangan Elit pada 2004.

Beliau kemudian memegang jawatan Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan pada 2015, diikuti Pengarah Bahagian Pengurusan Sukan pada 2018.

Beliau kemudiannya dipinjamkan ke Majlis Sukan Negeri Melaka sebagai Pengarah MSN Melaka daripada 1 Februari 2019 sehingga 4 April 2020, sebelum dipinjamkan ke Pejabat Pesuruhjaya Sukan sebagai Timbalan Pesuruhjaya Sukan sehingga Ogos 2023.

Beliau kembali ke MSN untuk memangku jawatan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Sukan) sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Pengkomersialan dan Pemasaran).

Sementara Jefri yang berkelulusan ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan di Universiti Miami, Florida, Amerika Syarikat memulakan tugas sebagai pegawai di Bahagian Pembangunan MSN pada 1993 sebelum menyambung pengajian ijazahnya daripada 1996 hingga 1999.

Kembali menyertai MSN pada 1999 di Bahagian Pembangunan sehingga 2003, Jeffri kemudiannya dilantik Ketua Unit Sukan Teras pada 2004 sebelum dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Cawangan Pelapis pada 2005 hingga 2014, diikuti Pengarah Bahagian Atlet pada 2015.

Majlis penyerahan surat pelantikan dilakukan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, YBhg. Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, disaksikan Ketua Pengarah MSN, Abdul Rashid Yaakub.

CAWANGAN KOMUNIKASI KORPORAT

MAJLIS SUKAN NEGARA

8 JANUARI 2024

Mesyuarat Jawatankuasa Khas Teknikal Temasya Para SUKMA XXI Sarawak 2024

Mesyuarat Jawatankuasa Khas Teknikal Temasya Para SUKMA XXI Sarawak 2024 telah dipengerusikan oleh YBrs. Tuan Haji Abdul Rashid Yaakub, Ketua Pengarah MSN bertempat di MSN, Bukit Jalil.

Tujuan mesyuarat ini diadakan adalah untuk mengesahkan beberapa perkara utama seperti acara-acara yang akan dipertandingkan dengan membabitkan 10 jenis sukan, pelantikan Ketua Delegat Teknikal dan Pengurus Pertandingan serta pembentangan daripada Sekretariat Para SUKMA XXI Sarawak 2024. Mesyuarat tersebut turut memaklumkan berkaitan kuota atlet serta pegawai kontinjen untuk bersama-sama di Kuching, Sarawak pada September nanti.

Turut hadir sama YBhg. Dato’ Sri Megat D. Shahriman Dato’ Zaharudin (Presiden MPM), YBrs. En. Abd Aziz bin Abd Rahman (TKP Bahagian Pembangunan Sukan, JBSN), Sekretariat Para SUKMA XXI SARAWAK 2024, Pengarah-pengarah JBSN dan Persatuan-persatuan Sukan Kebangsaan.

Institut sukan wajar dibangun di Sarawak: Dr Sim 

KUCHING: Sebuah institut sukan seperti Institut Sukan Australia (AIS) wajar dibangunkan di Sarawak untuk melahirkan atlet yang mampu menyumbang lebih banyak pingat dalam Sukan Olimpik.

Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata AIS dengan kakitangan profesional merangkumi pelbagai disiplin seperti pemakanan sukan, analisis prestasi, pemerolehan kemahiran, fisiologi, pemulihan, pendidikan biomekanik, latihan dan latihan bakat.

“Penduduk Australia lebih kecil daripada Malaysia tetapi memenangi lebih banyak pingat Olimpik berbanding Malaysia kerana AISnya.

“Sarawak tanpa sekolah sukan juga telah memenangi lebih banyak pingat Olimpik berbanding negeri-negeri lain di Malaysia, bayangkan kalau kita ada institut sukan,” kata Dr Sim.

Beliau berkata demikian menerusi catatan di Facebooknya selepas hadir menyaksikan dan menyampaikan hadiah pada kejohanan bola keranjang bawah 17 tahun Piala Dr Sim Kui Hian di Gelanggang Bola Keranjang, Sungai Apong, Ahad.

Ujar Dr Sim lagi, dengan Sarawak menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) tahun ini, beliau berharap ia bukan sekadar peluang untuk menaik taraf kemudahan sukan di negeri ini dan memenangi pingat terbanyak.

Tetapi katanya ini adalah peluang untuk sebuah institut sukan diwujudkan di negeri ini seperti AIS.

Dalam pada itu, kejohanan bola keranjang tersebut merupakan penganjuran kali ketujuh yang mana bagi Dr Sim sangat penting untuk pembangunan sukan bola keranjang.

Dr Sim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawa dan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga berkata beliau telah menaja banyak sukan berpasukan seperti bola keranjang, bola tampar dan lain-lain kerana sukan berpasukan adalah salah satu asas penting dalam pembinaan Sarawak.

Beliau turut berharap lebih ramai pemain Bumiputera dalam pembangunan sukan bola keranjang di Sarawak. -Utusan Borneo

SUKMA 2024, skuad pelayaran Sarawak tekad hadiahkan emas pertama

KUALA NERUS, 8 Januari- Skuad pelayaran Sarawak menyasarkan hadiah pingat emas pertama sempena penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang akan membuka tirai di Bumi Kenyalang, Ogos nanti.

Hasil program pembangunan sukan pelayaran secara komprehensif sejak tujuh tahun lalu di bawah kendalian ketua jurulatih, Jamil Ali, mula meletakkan Sarawak kini di antara lima teratas kuasa sukan pelayaran tanah air sama ada di pentas SUKMA mahupun lain-lain kejuaraan peringkat kebangsaan.

Mengulas lanjut, Bintara Muda (Bersara) Jamil Ali yang juga merupakan bekas atlet kebangsaan pada tahun 1980an, optimis dengan sasaran awal yang diletakkan sekiranya atlet-atlet negeri terus menimba pendedahan perlumbaan berprestasi tinggi sepanjang tahun ini sehingga gelanggang SUKMA 2024 dibuka nanti.

Beliau yang telah menamatkan perkhidmatan bersama Tentera Laut Diraja Malaysia(TLDM) juga merupakan bekas atlet kebangsaan yang pernah beraksi sebanyak tiga kali di pentas temasya Sukan SEA pada tahun 1983 di Singapura, 1985 di Bangkok dan pada tahun 1989 telah menghadiahkan pingat emas buat negara yang menjadi tuan rumah ketika itu.

Ketua jurulatih itu juga tidak menolak bahawa skuad pelayaran Sarawak bakal membuat kejutan dalam beberapa kategori acara bot yang sering didominasi oleh Terengganu.

“Pada saya, untuk mencapai pingat emas di sukan SUKMA 2024 adalah sangat-sangat penting. Saya tahu di mana tahap saya sebagai jurulatih yang mendidik dia hampir selama hampir tujuh tahun.”

Jadi, saya telah mencurahkan segala ilmu yang saya ada kepada dia. Misi penting yang perlu direalisasikan untuk bawa pulang emas pertama pelayaran kepada Sarawak,” kata Jamil kepada pemberita ketika pasukannya berkampung di perairan Pulau Duyung, Kuala Nerus bagi program latihan berprestasi tinggi sewaktu musim tengkujuh bersama pasukan pelayaran negeri Terengganu.

Atlet pelayaran yang juga anak jati Miri, Syahzhroul Aiman Rozaiman yang akan membuat penampilan terakhir di pentas SUKMA 2024 kelak, bertekad untuk kembali menghadiahkan pingat emas buat negeri kelahirannya.

Pada SUKMA 2018, Syahzhroul Aiman Rozaiman membuat kejutan apabila meraih dua pingat emas menerusi acara bot Optimist sekali gus mengenepikan dominasi podium oleh Terengganu.

“SUKMA 2024 adalah edisi terakhir saya dan ia akan menjadi sejarah untuk kontijen Sarawak sukan pelayaran, emas pertama milik kami,” kata Syahzhroul Aiman kepada pemberita.-RTM

Majlis Sukan Negara Malaysia