Kaji semula gaji jurulatih, tarik minat berbakti di Malaysia

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) sedang meneliti semula skim gaji jurulatih bagi menjaga kepentingan sumber industri tersebut.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, tindakan itu penting selepas mengambil pengajaran terhadap perkara yang berlaku dalam sukan gimnastik negara apabila beberapa bekas atlet yang meneruskan kerjaya sebagai jurulatih di Singapura.

Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, nama-nama seperti Amy Kwan, Tracie Ang, Noor Hasleen Fatihin Hasnan, Jaime Yoke Jeng, Azham Afzanizam, Chau Jerman Rong, Mohd Hamzarudin Nordin, Khairul Rasul Hilmi dan Tan Fu Jie telah lama hilang dari radar kerana berhijrah ke negara jiran itu. 

Menurut Hannah, selain pengumuman kebajikan atlet yang bakal meraih caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bermula Januari 2024, pihaknya juga akan menambah baik skim gaji jurulatih agar barisan profesional itu sentiasa mahu berbakti untuk Malaysia.

“Dalam mesyuarat lembaga yang lepas untuk MSN, kita ada buat kelulusan secara dasar bagi mengambil langkah; satu – untuk kebajikan atlet KWSP PERKESO. Satu lagi kita teliti skim gaji untuk jurulatih kerana kita tak mahu ketinggalan.

“Hasrat saya adalah supaya jurulatih Malaysia yang sedang berkhidmat di luar negara, yang membantu negara lain menang, mungkin kalau kita ada skim yang lebih menarik, saya percaya hati mereka akan beri keutamaan kepada negara sendiri, Malaysia.

“Itu sebab sekarang, MSN telah diberikan mandat, mereka sedang menjalankan bengkel dan sesi libat urus untuk lihat bagaimana kita boleh buat skim gaji jurulatih ini lebih menarik. 

“Kalau tidak, kita hilang ramai jurulatih terutamanya dalam Gimnastik kepada Singapura. Mereka dilatih di sini kemudian diserap ke Singapura. 

“Itu yang kita tak nak, kita pastikan bakat kita di sini untuk bantu atlet Malaysia,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan pemberita mengenai Laporan Audit Ketua Negara (LKAN) yang mengesyorkan agar adanya semakan semula Garis Panduan Kenaikan Gaji Jurulatih dilakukan bagi penentuan kadar kenaikan yang lebih teratur.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan sebanyak lima orang daripada 36 jurulatih Program Podium Sukan Elit (Program Podium) dikesan menerima kenaikan gaji tanpa menggunakan pakai kriteria dalam garis panduan sedia ada. 

-Utusan Malaysia