Selangor turunkan 1,138 atlet untuk Sukma Sarawak

Shah Alam: Kontinjen Selangor menurunkan 1,138 atlet yang akan mengambil bahagian dalam semua 37 jenis sukan di Sukan Malaysia (Sukma) ke-21 di Sarawak, bermula 17 hingga 24 Ogos depan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri, Mohd Najwan Halimi berkata, kontinjen Selangor optimis untuk berada pada kedudukan ketiga teratas dalam temasya sukan dwi tahunan itu.

“Kita sasarkan penyertaan kali ini untuk menjadi kelompok tiga terbaik kerana di Sukma edisi lalu, kami berada di tempat keempat dan hendak memperbaiki kedudukan itu.

“Sukma di Sarawak pada Ogos depan ini akan membabitkan 37 sukan dan penganjuran kali ini membabitkan jumlah sukan sukan tertinggi (banyak) dalam sejarah.

“Bagi persediaan atlet, untuk tahun ini kerajaan negeri memperuntukkan RM8 juta bagi program pembangunan sukan dan persediaan kontinjen Sukma,” katanya ketika menggulung Usul Menyembah Ucapan Terima Kasih Serta Menjunjung Kasih Titah Ucapan Sultan Selangor di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Abbas Salimmi Che Adzmi@Azmi (PH-Seri Serdang) berhubung persediaan kontinjen Selangor bagi menghadapi Sukma Sarawak, Ogos nanti.

Beliau berkata, meskipun pada relatifnya jumlah peruntukan untuk persediaan kontinjen Sukma Selangor lebih rendah berbanding negeri pencabar, persediaan Selangor lebih baik.

“Bagi Sabah (RM27.2 juta), Sarawak (RM23.1 juta) dan Terengganu (RM20 juta), Johor (RM15 juta), namun kita akan menggunakan mekanisme dengan meminta tajaan daripada anak syarikat kerajaan negeri.

“Dalam masa sama, pihak berkuasa tempatan (PBT) turut mengambil tanggungjawab untuk menjadi PBT angkat kepada persatuan tertentu,” katanya.-Harian Metro