TERENGGANU PUSAT LAHIRKAN JAGUH BERBASIKAL NEGARA

Dihantar pada : 29 Mac 2018 | Berita

DUNGUN, 29 Mac 2018 – Menteri Belia dan Sukan, YB Brig Jen Khairy Jamaluddin mengumumkan Terengganu sebagai pusat melahirkan jaguh berbasikal negara.

Perkara itu diumumkan sejajar dengan pembinaan Velodrom Azizulhasni Awang dengan reka bentuk Velodrom Roubaix di Perancis yang bernilai RM12 juta yang akan dibina tidak lama lagi dan dijangka siap pada penghujung tahun depan.

Khairy menjelaskan, Terengganu dipilih berikutan kecemerlangan negeri tersebut yang terus melahirkan ramai pelumba basikal secara konsisten dan cemerlang di peringkat negara dan dunia.

“Semoga dengan adanya velodrom ini kelak, ramai lagi Azizulhasni dan Fatehan Mustapa dapat dilahirkan dii negara ini”, kata beliau dalam sidang akhbar selepas majlis peletakan batu asas velodrom berkenaan di  Balai Besar.

Majlis yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman turut dihadiri Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd. Zubir Embong, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat, Pegawai Pembangunan Dungun, Datuk Din Adam dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Velodrom yang diberi nama Velodrom Azizulhasni Awang itu adalah sebagai tanda penghargaan dan penghormatan kepada Azizul yang telah mengharumkan nama negara dengan muncul sebagai jaguh pecut dunia.