SUKMA XIX – SIFAR DOPING

Dihantar pada : 10 Sep 2018 | Berita

IPOH, 10 September 2018 – Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail mahu Sukan Malaysia (SUKMA) edisi ke 19 Perak 2018 bebas dari isu doping.

Jelas Datuk Ahmad Shapawi, tiada kompromi kepada mana-mana atlet sekiranya diuji positif doping.

“Atlet yang positif doping sudah tentulah tidak akan bertanding di SUKMA. Keputusan ujian itu adalah rasmi dan tertakluk di bawah peraturan Agensi Anti Doping Dunia (WADA),” katanya selepas ditanya tentang kes seorang atlet angkat berat didapati positif doping pada saringan anti doping.

Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) dengan kerjasama Agensi Antidopong Malaysia (ADAMAS) telah mengambil langkah proaktif membuat saringan lebih awal sebelum temasya berlangsung sekaligus menyaksikan seorang atletnya positif.

“Saya berharap tiada lagi kes sebegini terjadi bukan hanya angkat berat, tetapi juga sukan-sukan lain yang perlu memastikan ia tidak berulang”.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Perak, Howard Lee Chuan How, turut memandang serius isu tersebut dan mengambil pendekatan sama terhadap atlet yang akan bertanding.

“Kami mengadakan 100 ujian rawak bagi mengenal pasti jika ada atlet positif doping.

“Saya boleh katakan seorang atlet telah diuji positif dan menggurkannya dari kontinjen”.

Dalam pada itu, majlis perasmian pembukaan SUKMA XIX yang akan dirasmikan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, menjanjikan kejutan buat orang ramai.

“Saya menjemput seluruh rakyat Malaysia khasnya penduduk Perak untuk datang ke Stadium Perak malam esok. Pelbagai aktiviti menarik menanti anda dan yang pasti, perasmian kali ini menggunakan teknologi seperti yang digunakan di Sukan Olimpik Rio dan PyeongChang”.

Tambah Howard, layar gergasi turut disediakn di 3 tempat iaitu di Pusat Akuatik Tuanku Zara, padang ragbi dan dihadapan Kompleks Sukan Majlis Sukan Negeri Perak.