SUKMA XIX – SARAWAK IKAT TUAN RUMAH

Dihantar pada : 08 Sep 2018 | Berita

MANJUNG, 8 September 2018 – Bola sepak singkap tirai Sukan Malaysia (SUKMA) XIX Perak 2018 dengan 3 perlawanan berlangsung.

Dalam aksi kumpulan A, Perak yang juga juara bertahan bangkit dari ketinggalan sebelum mengikat Sarawak 1-1 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung.

Sarawak yang tewas kepada Perak pada aksi suku akhir dua tahun lalu mengejutkan tuan rumah dengan gol seawal minit ke 4 jaringan Amri Amir Salleh.

Perak yang dibarisi 8 pemain PKNP FC terpaksa menunggu hingga minit ke 52 untuk menyamakan kedudukan hasil jaringan Muhammad Asyraaf Mat Pushni.

Terdahulu, Negeri Sembilan mengutip 3 mata penuh menewaskan Perlis 2-1.

Pada perlawanan yang berlangsung di sebelah petang, Negeri Sembilan membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti G.Durrkeswaran pada minit ke 38.

Perlis menyamakan kedudukan seminit sebelum babak pertama tamat hasil jaringan K.Aathishesan.

Namun Nor Syafiq Syazwan Abd Rahman memastikan 3 mata milik Negeri Sembilan dengan gol kemenangan pada minit ke 65.

Dalam satu lagi perlawanan, Wilayah Persekutuan mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Johor dalam aksi kumpulan B.