SUKMA XIX – MAJLIS PEMBUKAAN PENUH GILANG GEMILANG

Dihantar pada : 12 Sep 2018 | Berita

IPOH, 11 September 2018 – Sukan Malaysia (SUKMA) XIX Perak 2018 dibuka secara rasmi penuh gilang gemilang di Stadium Perak.

Bertemakan “Wow Kita Hebat” sukan dwitahunan itu disempurnakan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dengan lafaz perasmian disusuli gimik nyalaan obor berbentuk keris serta letusan bunga api di luar dan dalam stadium.

Walaupun hujan, ia tidak menghalang lebih 25,000 penonton hadir ke stadium seawal jam 6 petang untuk menyaksikan majlis pembukaan tersebut.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu serta Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Terdahulu, majlis pembukaan dimulakan dengan lintas hormat kontinjen negeri-negeri melibatkan 7,464 atlet dan pegawai daripada 15 kontinjen dengan didahului kontinjen Sarawak yang juga tuan rumah SUKMA Ke-18 dua tahun lalu.

Selaku tuan rumah, Perak menghantar kontinjen terbesar dengan 587 atlet diikuti Sarawak (553), Selangor (543), Terengganu (542), Wilayah Persekutuan (532), Johor (495), Pulau Pinang (483), Kedah (464), Pahang (440), Sabah (416), Negeri Sembilan (411), Melaka (376), Kelantan (288), Perlis (280) dan Brunei (34).

Ini merupakan kali kedua Perak menjadi tuan rumah selepas kali pertama diadakan pada 1994.

SUKMA edisi ke 19 ini  berlangsung 11 hingga 22 September, menawarkan 427 pingat emas membabitkan 29 jenis sukan dan 39 venue di 12 daerah seluruh Perak.