SUKAN KOMANWEL PELUANG ANAK BUAH DHAARMA TIMBA PENGALAMAN DARI JAGUH DUNIA

Dihantar pada : 08 Feb 2018 | Berita

KUALA LUMPUR, 7 Februari 2018 – Ketua jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah mengakui peluang beraksi di Sukan Komanwel 2018 adalah medan terbaik buat anak-anak buahnya menimba pengalaman dari pasukan handalan dunia.

Jelas Dhaarma, kesempatan ini harus dimanfaatkan sebaik mungkin skuad bimbingannya yang juga dalam persiapan menghadapi Sukan Asia Ogos depan.

“Bukan mudah untuk Malaysia menghuni ranking ke-22, dapat bersaing dengan pasukan dalam kelompok 10 terbaik dunia yang mempunyai pengalaman luas beraksi di pentas Piala Dunia”.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan A bersama-sama gergasi dunia, England, India, Afrika Selatan dan Wales sementara Kumpulan B pula dihuni oleh Australia, New Zealand, Scotland, Kanada dan Ghana.

Dhaarma turut menjelaskan andai pasukannya dapat mengulangi pencapaian menamatkan saingan di tempat ketujuh pada edisi  di Glasgow, Scotland empat tahun lalu sudah cukup membanggakan.

Dhaarma ditemui selepas lawatan Chef-de-Mission (CDM) Sukan Komanwel negara, Huang Ying How ke sesi latihan skuad hoki wanita, tinju dan olahraga para kebangsaan di Gimnasium ISN Bukit Jalil.

Skuad hoki wanita negara akan mengadakan lima siri perlawanan dengan skuad remaja wanita Jepun yang akan hadir ke Malaysia pada bulan depan, sebelum bertolak ke Gold Coast pada 26 Mac nanti.

Dalam perkembangan berasingan, ketua jurulatih skuad tinju negara, Azmi Md Yunus mahu melupakan khidmat Abdul Salam Kasim di Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia, April depan.
Ini kerana kekurangan masa untuk mempersiapkan peninju itu, yang sedang berusaha untuk menyertai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
“Saya tak kecewa, lebih rela lepaskan dia demi masa depannya. Sekarang ini kita dah masuk fasa prapertandingan, jika beliau mahu menyertai, beliau perlu menjalani ujian kecergasan dengan Institut Sukan Negara (ISN) terlebih dahulu”.
 
Abdul Salam salah seorang daripada dua peninju yang layak untuk beraksi di temasya sukan kedua terbesar dunia itu selain Muhamad Fuad Mohd Redzuan.