PARA SUKMA XIX: SARAWAK JUARA KALI KE-13, JAKLON DAN NUR FEIQA ATLET LELAKI DAN WANITA TERBAIK

Dihantar pada : 29 Nov 2018 | Berita

PERAK, 28 November 2018 – Sarawak muncul juara keseluruhan Sukan Para SUKMA buat kali-13 selepas menamatkan aksi di temasya edisi ke-19 ini dengan membawa pulang 61 pingat emas, 45 perak dan 40 gangsa.

Kontinjen Sarawak jelas berada dalam kelas tersendiri apabila jauh meninggalkan pencabar terdekat, Sabah di tangga kedua dengan 36 emas, 28 perak dan 30 gangsa.

Tuan rumah, Perak pula di kedudukan ketiga dengan 29 emas 33 perak dan 22 gangsa, mengatasi Johor di tempat keempat dengan kutipan 29 emas, 32 perak dan 34 gangsa.

Sarawak turut meraih anugerah Piala Semangat Paralimpik bagi pencapaian cemerlang mengungguli temasya kali ini.

Dalam pada itu, atlet lelaki terbaik milik Jaklon Ganding, atlet olahraga Sabah yang meraih tiga emas, manakala atlet catur Negeri Sembilan, Nur Feiqha Mualad Mohd Halil dinobatkan atlet wanita terbaik selepas memenangi empat pingat emas.

Upacara penutup Para Sukma Perak disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, di Stadium Indera Mulia, Ipoh.

Turut hadir, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong.