PARA SUKMA XIX: CHEAH LIEK HOU BANTU PERAK KUASAI BADMINTON, TERENGGANU DOMINASI PING PONG

Dihantar pada : 28 Nov 2018 | Berita

PERAK, 28 November 2018 – Pemain senior kebangsaan, Cheah Liek Hoa tepati ramalan memenangi pingat emas kategori perseorangan lelaki SU5 sekaligus membantu Perak muncul juara keseluruhan acara badminton.

Selain Liek Hou, seorang lagi wakil negara, Mazlan Saibon turut mudah meraih pingat emas kategori perseorangan lelaki WH2.

Satu lagi emas Perak dihadiahkan pasangan Md Radhi / Muhammad Zuhairi dalam kategori beregu lelaki SL3-SL4.

Terengganu pula dominasi acara ping pong apabila membawa pulang enam daripada 23 pingat emas yang dipertandingkan.

6 pingat emas tersebut hadir menerusi kategori perseorangan lelaki kelas 4-5, perseorangan lelaki kelas 10, perseorangan wanita kelas 6-8, berpasukan lelaki kelas 4-5, berpasukan wanita kelas 6-10 dan beregu wanita kelas 6-10.

Sabah pula di tempat kedua dengan 4 emas, 5 perak dan 11 gangsa manakala tuan rumah Perak ketiga dengan 4 emas, 3 perak dan 4 gangsa.

Dalam pada itu, Selangor pula dominasi acara boccia selepas meraih 3 emas, 2 perak dan 1 gangsa, mengatasi Johor yang meraih 2 emas, 1 perak dan 3 gangsa.