PARA SUKMA XIX: ATLET KEBANGSAAN TEPATI RAMALAN

Dihantar pada : 26 Nov 2018 | Berita

PERAK, 25 November 2018 – Atlet negara tepati ramalan apabila berjaya menguasai acara masing-masing di temasya Para SUKMA XIX  Perak 2018.

Pemegang rekod dunia remaja, Bonnie Bunyau Gustin tidak berdepan masalah meraih pingat emas powerlifting kategori 65 kilogram.

Beliau juga berjaya memperbaharui rekod kejohanan dengan catatan baru 170 kilogram, memadam rekod lama 148 kilogram yang dilakukan oleh Vison Jasni dua tahun lalu.

Di Stadium Perak, Muhammad Afiq Mohamad Ali Hanafiah mencatat masa baru acara 100 meter lelaki T12 dengan catatan 11.40 saat berbanding masa lama 11.58 saat.

Turut cemerlang, rakan sepasukan Afiq, S.Thavanesvaran yang menguasai acara 100 meter lelaki T44 dengan catatan baru temasya 12.98 saat, mengatasi rekod lama 13.42 saat.

Ahmad Solihim Mohd Noor dari Terengganu pula merakam rekod baru 100 meter lelaki T46 dengan catatan 11.62 saat memadam masa lama 11.84 saat.

Siti Nor Iasah Md Ariffin ungguli acara 800 meter wanita T20, manakala pemenang 3 pingat emas Sukan Para ASEAN Singapura 2015, Felicia Mikat dominasi acara 100 meter wanita T13.

Di lapangan memanah, wakil tuan rumah, Nor Sa’adah Abdul Wahab raih emas acara memanah compound menewaskan Lidwina Isidore Andilah dari Sabah dengan pingat perak.

Tamat hari kedua menyaksikan Sarawak, mengambil-alih kedudukan selaku pendahulu dengan meraih 11 pingat emas, 10 perak dan 9 gangsa.

Perak pula di tangga kedua dengan 10 emas, 8 perak dan 8 gangsa manakala Sabah di tempat ketiga dengan 7 emas, 11 perak dan 6 gangsa.