MENTERI BELIA DAN SUKAN RASMI GALERI SUKAN MSN

Dihantar pada : 08 Ogo 2018 | Berita

KUALA LUMPUR, 8 Ogos 2018 – Menteri Belia dan Sukan, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini berbesar hati merasmikan Galeri MSN yang menempatkan maklumat mengenai sejarah penubuhan MSN.

Galeri yang baru siap dibina itu terletak di lobi MSN turut menempatkan informasi mengenai penyertaan atlet-atlet negara di kejohanan peringkat antarabangsa serta koleksi barang-barang temasya sukan dunia.

Perasmian galeri tersebut turut diserikan dengan kehadiran jaguh badminton negara Datuk Razif Sidek, Cheah Soon Kit serta pemenang pertama pingat di sukan Paralimpik, P.Mariappan

Syed Saddiq kemudian turut berjogging bersama atlet-atlet negara di sekitar Stadium Nasional Bukit Jalil.

Pada ucapannya, Syed Saddiq berharap atlet yang akan menggalas tanggungjawab negara ke Sukan Asia di Jakarta minggu depan dapat mempamer semangat juang yang tinggi ketika beraksi di gelanggang.

Jelas beliau, semangat Malaysia Boleh yang dibawa atlet negara turut sama dirasai peminat-peminat sukan tanah air yang sama-sama mendoakan kejayaan mereka.

“Saya berharap apa pun terjadi di Sukan Asia, kalau anda menang, alhamdulillah. Kalau anda kalah, bangkit semula dan bergerak ke hadapan. Kerana kemenagan itu bukan sahaja diukur melalui kalungan pingat, tetapi kemenangan itu adalah apabila anda berjaya menyatupadukan rakyat Malaysia dan berjaya menyemarakan semangat kesukanan di kalangan rakyat Malaysia”.

Terdahulu beliau mengadakan pertemuan bersama Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara dan Perbadanan Stadium Negara.

Pada pertemuan yang diadakan di Bilik Rajawali, MSN itu, Syed Saddiq diberi taklimat oleh wakil ketiga-tiga agensi berkenaan.