MACE MAHU LEBARKAN SAYAP DI SETIAP NEGERI

Dihantar pada : 19 Dis 2018 | Berita

KUALA LUMPUR, 19 Disember 2018 – Selepas kejayaan memeterai perjanjian dengan Universiti Selangor (UNISEL) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kelantan, Menteri Belia dan Sukan, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahmah berharap Program Malaysian Athlete Career and Education (MACE) dibawah Majlis Sukan Negara (MSN) dapat melebarkan sayap di setiap negari dalam memastikan atlet negara berpeluang untuk melanjutkan pengajian ke menara gading tanpa mengorbankan karier sukan mereka.

Jelas Syed Saddiq, menerusi program MACE ini dapat menggalakkan lebih ramai atlet dan bekas atlet untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dengan menawarkan syarat kemasukan yang lebih fleksibel ke dalam program yang dipohon.

Selain itu, antara kerjasama lain yang dapat dinikmati ialah pelepasan atau pengangguhan pengajian kepada atlet yang terlibat dengan penyertaan kejohanan atau latihan atau program MSN.

Syed Sadiq berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Majlis Sukan Negara dengan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan Perjanjian Kerjasama antara Majlis Sukan Negara dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

UTAR diwakili Timbalan Presiden Pembangunan Pelajar dan Perhubungan Alumni, Profesor Dr. Choong Chee Keong, dan UniKL diwakili Presiden Merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, Profesor Dato’ Dr.Mazliham Mohd Su’ud, manakala MSN diwakili Ketua Pengarah, Dato’ Ahmad Shapawi Ismail.