KONTINJEN MALAYSIA SASAR 15 PINGAT EMAS DI SUKAN PARA ASIA

Dihantar pada : 01 Okt 2018 | Berita

KUALA LUMPUR, 1 Oktober 2018 – Kontinjen negara mensasarkan 15 pingat emas pada temasya Sukan Para Asia Indonesia 2018 yang bakal membuka tirai Sabtu ini.

Sasaran itu mengulangi pencapaian 4 tahun lalu di Incheon di mana Malaysia berjaya membawa pulang 15 emas, 20 perak dan 27 gangsa untuk menduduki ranking ketujuh keseluruhan.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman percaya atlet negara mampu mencapai kejayaan lebih cemerlang berdasarkan keyakinan yang dipamerkan atlet negara.

“Antara sandaran utama pingat emas diletakkan kepada acara olahraga di samping tenpin boling dan badminton. Saya nampak semangat mereka berkobar-kobar. Tidak mustahil mereka mampu untuk merangkul lebih banyak pingat emas”, katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut melaungkan keyakinan sama kontinjen negara mampu membanggakan rakyat Malaysia dengan pencapaian lebih gemilang.

“Saya mengagumi semangat dan pengorbanan mereka. Saya percaya tahun 2018 ini kontinjen negara akan mampu membawa pulang lebih banyak kilauan pingat emas buat negara”, katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada Kontinjen Malaysia ke Sukan Para Asia Jakarta di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan.

Pada majlis tersebut,  Datuk Seri Dr Wan Azizah menyerahkan Jalur Gemilang kepada ketua kontinjen negara, Lee Sheng Chow untuk diserahkan kepada atlet tenpin boling, Abu Bakar Nyat.

139 orang atlet, 110 lelaki dan 29 wanita bakal membawa cabaran Malaysia ke Sukan Para Asia Indonesia 2018 dimana atlet negara akan menyertai 161 acara daripada 15 sukan yang disertai.