KELAB BOLA SEPAK SEPANYOL INTAI KERJASAMA DENGAN AMD

Dihantar pada : 12 Dis 2018 | Berita

KUALA LUMPUR, 12 Disember 2018 – Kejayaan yang diraih pasukan bola sepak yang dilahirkan oleh Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang yang berjaya melakar pelbagai kejayaan di dalam dan luar negara mendapat perhatian beberapa kelab antarabangsa.

Kelab bola sepak Sepanyol, Levante Union Deportiva intai kerjasama dengan AMD dimana pengerusi kelab tersebut, Quico Catalan tiba di ibu negara bagi membincangkan jalinan yang akan dimeterai kelak.

Catalan turut diiringi Vicente Blanco (Pengarah Urusan), Javier Vich (Pengurus Besar) dan Luca Donati (Pegawai Pemasaran Antarabangsa) membincangkan  mengenai kerjasama diantara AMD yang diwakili Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Kerjasama itu antara lain memberi penekanan dari segi kepakaran jurulatih dalam usaha membantu meningkatkan kualiti pemain negara pada masa akan datang.

Antara kejayaan yang dicatat setakat ini ialah menjadi pasukan pertama dari Asia menjuarai kategori bawah 14 tahun Kejohanan Vongido, Belanda selepas 16 edisi.

Pada  2015, pasukan negara juga menjadi juara Kejohanan Bola Sepak Remaja Piala Iber Costa Del di Sepanyol,

Selain itu, tiga tonggak AMD turut melakar sejarah  apabila dijemput mewakili skuad utama Paris Saint-Germain (PSG) Bawah 13 tahun (B-13) dalam salah satu saingan terulung Eropah di Kejohanan Antarabangsa V Memorial Giuseppe Augello di Rome, Itali dari 21-24 Jun 2018.