HAKIMI DIPILIH SEBAGAI PEMBAWA JALUR GEMILANG SUKAN KOMANWEL GOLD COAST 2018

Dihantar pada : 27 Mac 2018 | Berita

PUTRAJAYA, 27 Mac 2018 – Peningkatan prestasi ketara yang dipamerkan atlet lompat kijang negara, Muhammad Hakimi Ismail menjadi kriteria penting pemilihan beliau sebagai pembawa jalur gemilang kontinjen Malaysia di Sukan Komanwel Gold Coast, April ini.

Menteri Belia dan Sukan, YB Brig Jen Khairy Jamaluddin berkata, Hakimi mempamer aksi memberansangkan dengan layak ke Gold Coast biarpun bergelut dengan kecederaan sebelum ini.

“Kembali dari kecederaan dan layak ke Gold Coast, itu yang kita mahu. Mereka yang menunjukkan peningkatan ketara perlu diberi pengiktirafan”, katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara ke Sukan Komanwel 2018.

Hakimi, 27, mengalami kecederaan buku lali kiri pada tahun 2016 sebelum bangkit mempamer aksi cemerlang tahun lalu apabila membaharui rekod Sukan SEA KL2017 dengan jarak 16.77 meter.

Hakimi yang ditemui jelas terharu dan menyifatkan ia adalah pembakar semangat untuk melakukan yang terbaik di Gold Coast nanti.

“Ini adalah motivasi terbaik bagi saya dan juga satu penghargaan tinggi terutama buat sukan olahraga”.

Pada majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia menyaksikan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menyerahkan bendera kepada ketua kontinjen, Huang Yon Hao sebelum diserahkan kepada Muhammad Hakimi.

Majlis turut dihadiri Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri M.Saravanan, Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar, Timbalan Presiden MOM, Dato’ Sri Mohamad Norza Zakaria, Timbalan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, Ng Keng Chuan, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Dato’ Ahmad Shapawi Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Dr.Khairi Zawi.

178 atlet termasuk atlet para negara bakal menggalas cabaran di Gold Coast yang akan bermula 4 hingga 15 April depan.