AZIZULHASNI FOKUS SUKAN KOMANWEL, SUKAN ASIA 2018

Dihantar pada : 12 Feb 2018 | Berita

NILAI,12 Februari 2018 – Juara keirin dunia, Mohd Azizulhasni Awang menjelaskan Sukan Komanwel dan Sukan Asia 2018 adalah keutamaan beliau tahun ini.

Justeru, Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) hujung minggu ini di Valedrom Nilai dan Kejohanan Berbasikal Dunia di Belanda awal bulan depan bakal merupakan medan terbaik menguji prestasi semasa beliau ketika ini.

“Saya lihat ACC ini lebih kepada persediaan ke Kejohanan Dunia, manakala Kejohanan Dunia pula persiapan ke Sukan Komanwel selain mempertahankan gelaran dunia yang dimenangi tahun lalu”.

Dalam pada itu, ketua jurulatih, John Beasly berpuas hati dengan persiapan anak-anak buahnya ketika ini dan berada di landasan tepat untuk menghadiahkan pingat.

“Kami akan lakukan terbaik. Mereka ini berada dalam prestasi terbaik. Kami bekerja keras di semua sudut tetapi masih banyak juga ruang perlu diperbaiki”.

Azizul dan Beasly ditemui di Velodrom Nilai pagi tadi.

Terdahulu, Chef de Mission Sukan Komanwel, Huang Ying How sempat meluangkan masa meninjau sesi latihan dan persiapan atlet berbasikal Malaysia yang akan bertanding di Kejohanan Lumba Basikal Trek Asia (ACC).

Sementara itu, wakil tunggal atlet paralimpik ke Sukan Komanwel Gold Coast, Muhammad Afiq Afify Rizan dan jurumudi, Mohd Khairul Adha Rasol turut memasang impian menjadi antara penyumbang pingat buat Malaysia.

“Saya dah tahu saingan di Sukan Komanwel dan pernah beraksi menentang mereka. Saya meletakkan sasaran 50/50 dan harap dapat hadiahkan pingat”.

Sukan Komanwel akan diadakan di Gold Coast, Australia dari 4 hingga 15 April, manakala Sukan Asia dijadual berlangsung dari 18 Ogos hingga 2 September di Indonesia.