ATLET NEGARA TERIMA DURIAN RUNTUH

Dihantar pada : 19 Dis 2018 | Berita

KUALA LUMPUR, 19 Disember 2018 – Atlet negara yang cemerlang di temasya Sukan Komanwel Gold Coast, Sukan Asia Jakarta-Palembang dan Suka Para Asia Indonesia serta pemenang kejohanan dunia  menerima habuan bernilai lebih RM6.2 juta pada Majlis Penyampaian Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) hari ini.

Majlis yang berlangsung di Gimnasium 2, Bukit Jalil itu menyaksikan atlet paralimpik negara Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi muncul penerima tertinggi SHAKAM 2018 dengan RM260,000 selepas meraih tiga emas di Sukan Para Asia, selain satu rekod kejohanan dan satu rekod dunia.

Bagi temasya Sukan Komanwel, gimnas negara, Amy Kwan Dict Weng muncul penerima individu tertinggi dengan RM133,333.00 selepas kejayaannya meraih dua emas, satu perak dan dua gangsa, diikuti pasukan badminton yang muncul sukan tertinggi menerima imbuhan iaitu sebanyak RM280,000.

Sukan Komanwel Gold Coast 2018 menyaksikan kontinjen Malaysia yang membawa pulang 7 emas, 5 perak dan 12 gangsa meraih imbuhan RM1,030,000.00 keseluruhan.

Bagi Sukan Asia Jakarta-Palembang, jaguh keirin negara, Azizulhasni Awang muncul penerima individu tertinggi dengan jumlah RM113,333.33 selepas meraih satu emas, satu perak dan satu gangsa, diikuti pasukan tenpin boling yang muncul sukan tertinggi menerima imbuhan iaitu sebanyak RM248,000.00.

Pada Sukan Asia kali ini Malaysia yang menggondol 7 pingat emas, 13 perak dan 16 gangsa meraih imbuhan RM1,568,000.00 keseluruhan.

Sukan Para Asia pula yang cemerlang dengan 17 pingat emas, 26 perak dan 25 gangsa meraih imbuhan RM2,998,000.00 keseluruhan.

Skuad olahraga muncul sukan tertinggi menerima imbuhan iaitu sebanyak RM910,000.00.

Dalam pada itu, kejayaan atlet negara meraih gelaran juara dunia turut dirai.

Rafiq Ismail dan gandingan beregu, Andrian Ang dan Tun Ameerul Al Hakim Tun Hasnul Azam yang memenangi gelaran dunia di Kejohanan Boling Tenpin Lelaki Dunia 2018 di Hong Kong menerima imbuhan sebanyak RM 160,00.00.

Pencak silat yang meraih 3 pingat emas 2 perak dan 3 gangsa di Kejohanan Pencak Silat Dunia 2018 di Singapura menerima imbuhan sebanyak RM380,000.

Diikuti pasukan bina badan negara yang memperoleh 4 pingat emas, 1 perak dan 2 gangsa menerima imbuhan sebanyak RM 100,000.

Insentif kemenangan disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.