AMD WAJAH MASA HADAPAN BOLA SEPAK NEGARA

Dihantar pada : 27 Apr 2018 | Berita

KUANTAN, 26 April 2018 – Akademi Mokhtar Dahari (AMD) menjadi dimensi baharu bola sepak negara dengan latihan berprestasi tinggi dan pendedahan bakat di peringkat antarabangsa untuk pelatih-pelatih yang terpilih.

Akademi yang bertaraf lima bintang dibina dengan peruntukan RM85 juta dari kerajaan itu bakal menjadi pusat pemain muda terbaik dari pelosok negara menimba ilmu bola sepak.

“AMD telah menerima kemasukan kumpulan pelajar pertama dua minggu lepas iaitu seramai 185 pelajar daripada tingkatan satu hingga empat. Bagaimanapun, asrama ini mampu menempatkan seramai 375 pelatih keseluruhannya,” jelas Menteri Belia dan Sukan , YB Brig Jen Khairy Jamaluddin yang ditemui selepas Majlis Perasmian Fasa 2 Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD).

Turut hadir, balu legenda bola sepak negara, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, Datin Tengku Zarina Tengku Ibrahim, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Ahmad Zawawi Zakaria.

Fasa kedua AMD melibatkan pembinaan dewan, pusat pentadbiran, asrama serta kemudahan-kemudahan lain.