9 SYARIKAT KORPORAT SUNTIK SEMANGAT KONTINJEN PARA ASIA

Dihantar pada : 28 Sep 2018 | Berita

KUALA LUMPUR, 28 September 2018 – 9 syarikat korporat tampil memberi sumbangan berjumlah RM295,000 sebagai tanda sokongan kepada atlet negara yang akan beraksi di Sukan Para Asia Indonesia 2018.

9 syarikat tersebut adalah Tune Talk, Yayasan Usahawan Negara, Bata, Al-Ikhsan Sports Sdn.Bhd., Beunited Asia, Maraliner Sdn.Bhd., GNT Medixcel Sdn. Bhd., F&N Beverages Sdn. Bhd. dan Naza Corporation Holdings yang menaja pakaian rasmi bagi majlis pembukaan.

Jelas Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), SM Nasarudin SM Nasimuddin ini merupakan sumbangan terbesar buat  kontinjen para dalam temasya setakat ini.

“Prestasi di Sukan Paralimpik Rio 2016 telah membuka mata semua pihak dan ini adalah petanda positif untuk menarik minat lebih ramai syarikat-syarikat untuk menyumbang pada masa akan datang”.

Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berharap sumbangan ini  mampu memberi suntikan semangat buat atlet mempamer aksi luar biasa di Jakarta nanti.

“Terima kasih kepada semua penaja. Saya yakin dengan semangat luar biasa yang ada pada atlet kita, mereka akan berjuang mengharumkan nama negara tercinta”.

138 atlet akan menggalas cabaran negara ke Sukan Para Asia Jakarta 2018 yang akan berlangsung dari 6 hingga 13 Oktober 2018.