10 TERBAIK – PM

Dihantar pada : 10 Ogo 2018 | Berita

PUTRAJAYA, 10 Ogos 2018 – Tun Dr Mahathir Mohamad percaya kontinjen negara mampu untuk berada dalam kelompok 10 terbaik pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.

Perdana Menteri berkata perkara itu tidak mustahil untuk Malaysia mengulangi kejayaan yang pernah dicipta pada Sukan Asia Guangzhou, China pada 2010.

“Jika Malaysia pernah menamatkan saingan dikelompok 10 terbaik pada temasya sebelum ini, saya tidak nampak mengapa kontinjen kita pada kali ini tidak boleh mengulangi kegemilangan tersebut pada 2018, atau pun melakukan sesuatu yang lebih baik daripada itu. Saya yakin kontinjen kali ini amat berkemampuan untuk mencatatkan kejayaan yang lebih bermakna”.

Tambah Tun Dr. Mahathir, Malaysia juga mempunyai jaguh dunia seperti seperti Al Jufferi Jamari (silat), Azizulhasni Awang (lumba basikal), Cheong Jun Hoong dari terjun, Wong Weng Soon (Wushu) dan tidak kurang hebatnya pasukan boling wanita dan skuad hoki lelaki.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen Sukan Asia 2018 di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; dan timbalannya, Steven Sim Chee Keong; Menteri Kabinet dan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Lokman Hakim Ali.

Hadir sama, Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, dan Chef de Mission Sukan Asia 2018, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi.

Dalam pada itu, Malaysia menyasarkan 7 pingat emas pada Sukan Asia 2018 yang akan membuka tirai minggu depan.

Menteri Belia dan Sukan, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul mengumumkan perkara tersebut selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang yang disempurnakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kita meletakkan sasaran 7 pingat emas, tetapi jika bernasib baik, kita mampu meraih 11 pingat emas. “Antara sukan yang menjadi sasaran adalah berbasikal, karate, sepak takraw, silat, tenpin boling serta beberapa sukan lain”.

Bagi edisi kali ini, seramai 426 atlet akan beraksi di dalam 35 jenis sukan yang berlangsung di Jakarta dan Palembang.