TIGA LAGI ATLET PARALIMPIK LAYAK SECARA MERIT KE TOKYO 2020
KUALA LUMPUR, 9 JUN – Cheah Liek Hou, Didin Terasoh dan Abu Samah Borhan layak secara merit ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020 selepas menerima pengesahan penyertaan hari ini.
Cheah Liek Hou dari kategori SU5 melayakkan diri secara merit selepas menghuni ranking ke-2 dunia dengan mengumpul 4770 mata dari 11 kejohanan yang disertai dari 2019 dan 2020.
Didin Terasoh pula melayakkan diri selepas mengumpul 1410 mata untuk kedudukan ke-7 dunia dan akan menyertai kategori SH6.
Untuk rekod, sukan badminton akan dipertandingkan buat pertama kali di pentas Sukan Paralimpik.
Seorang lagi wakil negara, Abu Samah Borhan turut mengesahkan penyertaan ke Tokyo selepas menghuni kedudukan 40 terbaik dunia.
Abu Samah berjaya mengumpul 698 mata dari 16 penyertaan kejohanan bermula 2019 hingga 2021.
Beliau pernah menyertai Sukan Paralimpik Rio 2016 melalui permohonan bipertite namun kalah pada pusingan pertama.
