KUALA LUMPUR – Mesyuarat Jawatankuasa Khas Teknikal Sukan Malaysia (SUKMA) XX, Johor 2022 telah diadakan di Kinrara Resort hari ini.
Mesyuarat kali ke-5 ini telah dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Dato’ Ahmad Shapawi Ismail dan turut dihadiri Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Dato’ Nazifuddin Mohd Najib.
Mesyuarat yang melibatkan wakil dari Majlis Sukan Negeri dan Persatuan Sukan ini telah membincangkan beberapa perkara antaranya cadangan had umur dibawah 23 tahun kepada penyertaan atlet yang bertanding di temasya itu tahun depan, kecuali bagi sukan yang melibatkan had umur antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Sukan Malaysia Johor 2022, Tuan Hj. On Jabbar turut membentangkan persediaan terkini tuan rumah menjelang penganjuran temasya tersebut tahun depan.
SUKMA Johor pada asalnya dijadualkan berlangsung dari 11 hingga 19 Julai 2020 ditunda ke 6 hingga 14 Mac 2021, namun terpaksa dibatalkan atas faktor keselamatan dan kesihatan berikutan ancaman penularan COVID-19.