MAJLIS SUKAN NEGARA TERIMA KUNJUNGAN RASMI MENTERI BELIA DAN SUKAN
KUALA LUMPUR, 29 SEPTEMBER – Menteri Belia dan Sukan, YB Dato’ Seri Ahmad Faizal Dato’ Azumu mengadakan lawatan rasmi ke Majlis Sukan Negara hari ini.
Ini merupakan kunjungan pertama beliau ke MSN selepas dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan pada bulan lalu.
Dato’ Seri Ahmad Faizal yang diiringi Ketua Pengarah MSN, Dato’ Ahmad Shapawi Ismail dibawa melihat tempat latihan E-Sports yang terletak di ruang legar CASA 1.
Beliau seterusnya diberi taklimat mengenai MSN sebelum dibawa ke Kafeteria Atlet.
Dato’ Seri Ahmad Faizal turut meluangkan masa mengadakan perjumpaan bersama atlet negara.
Pada perjumpaan berkenaan Dato’ Seri Ahmad Faizal merakamkan ucapan tahniah kepada atlet negara yang telah bersaing dan mengharumkan nama negara dengan kejayaan yang dicapai di kejohanan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 yang telah berlangsung baru-baru ini.
Beliau berkata, bagi meneruskan kecemerlangan sukan negara khususnya dalam menghadapi cabaran temasya sukan antarabangsa pada tahun 2022, atlet perlu melipat gandakan usaha dalam menghadapi kejohanan besar seperti Sukan Komanwel Brimingham, Sukan Asia dan Sukan Para Asia di Hangzhou serta Sukan SEA.
Turut hadir pada sesi perjumpaan berkenaan YBhg. Datuk M Nor Azman Taib, Ketua Setiausaha KBS, YBrs. Puan Ramona Mohd Razali Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) KBS dan En. Abdullah Hasan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KBS.
