KETUA MENTERI LANCARKAN PELEPASAN KONVOI JELAJAH SOKONGAN ROAD TO TOKYO 2020 PERINGKAT NEGERI MELAKA
MELAKA, 27 APRIL – Melaka menjadi persinggahan kedua Konvoi Jelajah Road To Tokyo 2020 selepas Johor untuk Zon Selatan.
Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Utama Dr. Haji Sulaiman Md Ali berbesar hati melancarkan pelepasan konvoi yang berlangsung di Perkarangan Lobi Blok Bendahara, Seri Negeri Hang Tuah Jaya, Ayer Keroh.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, YB Datuk Seri Dr. Hasim Hasan, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Dato’ Ahmad Shapawi Ismail, Pemangku Pengarah Majlis Sukan Negeri Melaka, Puan Tan Gek Chu dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka, Encik Noorman Ramlan.
Kayuhan yang melibatkan warga Melaka itu akan melalui 3 lokasi berbeza iaitu di Anjung Mydin MITC, Anjung Tesco Lotus Cheng dan Bazar Ramadhan Taman 1 Krubong.
Konvoi yang melibatkan 24 kenderaan ini diiringi pegawai pengiring bermotosikal berkuasa tinggi dan sebuah kereta rasmi dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) PDRM Bukit Aman yang diketuai oleh Inspektor Mohd Hafizd Ahmad.
Program Jelajah Sokongan Kontinjen Road To Tokyo 2020 adalah bertujuan mendapatkan sokongan masyarakat sekaligus membangkitkan semangat atlet yang akan berjuang di temasya Sukan Olimpik yang akan berlangsung pada 23 Julai hingga 8 Ogos 2021 dan Sukan Paralimpik yang akan diadakan pada 24 Ogos hingga 5 September 2021.
Konvoi Jelajah Sokongan Kontinjen Road To Tokyo 2020 akan berada di Bandar Seremban pada 29 Mei 2021 untuk destinasi terakhir zon selatan.