ELEPHANT WARRIOR CAMP 2024 PERMANTAP ATLET SUKMA PAHANG

MARAN, 24 FEBRUARI 2024 : Majlis Sukan Pahang (MSP) menganjurkan Elephant Warrior Camp 2024 REVOS 2030 bagi memantapkan 586 atlet kontinjen Pahang pada SUKMA Sarawak yang akan berlangsung Ogos 2024.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, kem yang dianjurkan ini dapat dijadikan platform utama bagi membina semangat dan kekuatan para atlet mempersiapkan diri menjelang SUKMA Sarawak.

“Saya dah berkongsi hasrat, keinginan dan harapan Kerajaan Negeri Pahang terhadap mereka dan dalam tempoh setahun ini banyak yang telah dilakukan oleh Kerajaan Negeri Pahang dan Majlis Sukan Pahang.

“Dari segi kebajikan atlet, kebajikan jurulatih, dari segi infra dan peralatan sukan itu sendiri, jadi kita hendak tengok ‘result’ selepas kita penuhi hasrat mereka sekarang giliran mereka untuk buktikan pencapaian terbaik untuk negeri dan pada saya kita memiliki masa yang mencukupi sehingga Ogos ini untuk baiki kedudukan kita dari tangga ke-9 kepada sekurang-kurangnya tangga ke-5 dan kita komited untuk mencapai sasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Elephant Warrior Camp 2024 REVOS2030 yang berlangsung selama empat pada 23 hingga 26 Februari bertempat di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Jengka, semalam.

Hadir sama ialah Pengarah MSP, YBrs Encik Zamri Hassan, Ketua Kontinjen Pahang yang juga Presiden Kesatuan Ragbi Negeri Pahang, YHM Tok Muda Dato’ Indera Tun Putera Abdul Mubin Shah dan Timbalan Rektor UiTM Cawangan Jengka, Profesor Dr. Wan Mohd Nazri Wan Abdul Rahman.

Pada Elephant Warrior Camp disertai seramai 586 atlet Pahang daripada 36 sukan yang akan dipertandingkan pada SUKMA Sarawak Ogos depan.

Kem tersebut menyediakan platform perkongsian daripada bekas atlet-atlet negara dan pengulas sukan berpengalaman. – PAHANGMEDIA