Majlis Sukan Negara Malaysia
Haikal-Hon Jian juara Masters Orleans

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki muda negara, Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian merangkul gelaran ketiga dalam saingan Jelajah Dunia BWF selepas menjuarai Masters Orleans di Perancis, sebentar tadi.

Bagaimanapun, pilihan keempat kejohanan itu dipaksa bekerja keras sebelum melakar kemenangan dalam pertarungan tiga set ke atas lawan dari Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi 21-15, 18-21, 21-14 pada aksi final di Palais des sports.

Ini adalah gelaran pertama buat Haikal-Hon Jian dalam Jelajah Dunia BWF musim ini dan yang ketiga keseluruhan sejak digandingkan pada Ogos tahun lalu.

Mereka sebelum ini turut menjuarai Kejohanan Badminton Antarabangsa Syed Modi dan Masters Guwahati di India pada Disember tahun lalu

Haikal pernah melangkah ke final Orleans Masters pada edisi 2022 tetapi bersama Wan Arif Wan Junaidi.

Bagaimanapun, mereka terpaksa menarik diri daripada aksi final dan berpuas hati dengan gelaran naib juara selepas Haikal diuji positif COVID-19.-Berita Harian

Aaron-Wooi Yik mampu hadiahkan kilauan pingat dari Paris

KUALA LUMPUR: Kejayaan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang melangkah ke final Seluruh England dianggap kembali memberi sinar buat kem badminton negara menuju ke Sukan Olimpik Paris 2024, Julai depan.

Selepas barisan pemain utama negara beraksi hambar dalam beberapa kejohanan awal pada musim ini, pencapaian Aaron-Wooi Yik meletakkan mereka sebagai taruhan terbaik untuk sekurang-kurangnya meraih pingat di Paris.

Bekas Pengarah Prestasi Tinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk James Selvaraj, berkata pasangan nombor lima dunia itu sememangnya berpotensi untuk meraih pingat di Olimpik kali ini tetapi perlu melipat gandakan usaha bagi memastikan mereka berada pada tahap terbaik di Paris.

Katanya, bekas juara dunia itu perlu sentiasa percaya dengan kemampuan diri sendiri yang mereka mampu menang ke atas mana-mana pasangan sekalipun.

“Apa yang paling penting adalah strategi dan konsistensi. Masalah yang sering dialami pemain negara kita adalah konsistensi, hari ini mereka boleh menang pemain utama dunia tetapi esok kalah dengan pemain bawahan.

“Pemain sebenarnya perlu percaya dengan kemampuan diri mereka, tidak boleh takut apabila memasuki gelanggang tidak kira siapa pun lawan mereka. Jika mereka tidak percaya dengan kemampuan diri, perasaan takut kalah akan datang.

“Apabila sudah diselubungi perasaan takut kalah, semua yang mereka buat tidak menjadi. Jadi, kena percaya dengan kemampuan diri kita dan sentiasa fikir yang kita boleh menang,” kata James kepada BH Sukan.

Sebagai rekod, Aaron-Wooi Yik berjaya memenangi gangsa pada penampilan sulung mereka di Olimpik Tokyo 2020.

Mereka juga berjaya memenangi gelaran juara dunia pada 2022 selain meraih gangsa di Sukan Asia Hangzhou tahun lalu.-Berita Harian

Berpuasa di perantauan demi karier

Kuala Lumpur: Berpuasa dan berhari raya di perantauan bukan sesuatu yang asing buat pemain hoki negara, Faizal Saari.

Ia adalah lumrah yang perlu dikorbankan kerana tuntutan kerjaya seorang atlet.

Ramadan kali ini dia sekali lagi akan terpaksa meninggalkan keluarga tercinta demi tuntutan kerjayanya sebagai pemain hoki.

Penyerang prolifik negara itu mendapat tawaran kali kedua untuk beraksi bersama pasukan dari Bangladesh, Mohammaden Sporting Club untuk tempoh enam minggu.

Ia bukanlah kali pertama pemain berusia 31 tahun itu membuat penampilan di luar negara dan menjadi pemain negara pertama membuat penampilan di Hoofdklasse Belanda, selepas khidmatnya di­sambar ZSV Schaerweijde dua tahun lalu.

Malah dia turut pernah beraksi di negara seperti di Australia, India dan Sepanyol serta beberapa negara lain.

Justeru ia bukan sesuatu yang asing buat pemain kelahiran Terengganu itu menjalani ibadah puasa di perantauan.

“Ramadan tahun ini saya akan menyambutnya sendirian kerana akan beraksi bersama kelab di Bangladesh.

“Tapi ia bukan satu yang asing bagi saya kerana pernah juga berpuasa di perantau sebelum ini.

“Cuma kali ini saya akan mendapat kebenaran daripada kelab untuk berhari raya bersama keluarga sebelum kembali ke Bangladesh semula untuk baki perlawanan seterusnya,” katanya.

Di tanya mengenai pengalaman berpuasa di perantauan, Faizal berkata, dia melalui perkara yang sama seperti ketika di tanah air.

Cuma rasa berbuka bersama keluarga itu tidak sama ketika terpaksa berbuka sendirian atau bersama rakan-rakan di perantauan.

“Kalau ditanya apa yang dirindui pastinya waktu sahur dan berbuka bersama keluarga.

“Saya juga pernah rasa puasa selama 15 ke 16 jam juga ketika di Afrika Selatan atau Argentina ketika itu.

“Memang meletihkan tapi itu satu pengalaman yang tidak semua orang boleh merasai,” katanya.

Faizal berkata, sepanjang bulan Ramadan ini, dia perlu mengekalkan diet yang seimbang bagi memastikan berada di tahap terbaik apabila turun beraksi.

Antara yang perlu ditekankan adalah pengambilan makan ketika waktu bersahur yang mana ia perlu di ambil mengikuti kuantiti sederhana.

“Atlet perlu profesional. Tak boleh ambil berlebihan dan tidak boleh juga terlampau berat atau terlampau ringan.

“Ia sangat penting untuk membolehkan kita mengekalkan momentum dan mengekalkan kecergasan agar boleh memberikan yang terbaik apabila turun berlatih atau bertanding,” katanya.

Mengulas mengenai peluangnya beraksi bersama kelab luar, Faizal berkata, dia perlu mengekalkan tahap disiplin kerana membawa nama negara.

Justeru momentum perlu dikekalkan untuk terus kekal relevan dalam dunia hoki negara selain diharapkan akan diserapkan ke dalam skuad kebangsaan.-Harian Metro

Tiada sebarang pingat dari Hong Kong

KUALA LUMPUR: Skuad berbasikal trek negara mengakhiri kempen Piala Negara-Negara UCI di Hong Kong tanpa sebarang pingat.

Perlumbaan hari terakhir, hari ini menyaksikan pelumba sandaran, Muhammad Shah Firdaus Sahrom terkandas di pusingan pertama acara pecut individu selepas tewas di tangan Sebastien Vigier dari Perancis.

Terdahulu, Shah Firdaus mara ke pusingan pertama selepas berjaya menempatkan diri dalam kelompok 28 terbaik di pusingan kelayakan dengan mencatat masa 9.987 saat (s) untuk berada di kedudukan ke-26.

Adiknya, Muhammad Ridwan bagaimanapun terkandas di pusingan kelayakan apabila menduduki tangga ke-30 dengan catatan 10.027s.

Semalam, Shah Firdaus dan Ridwan turut gagal meraih pingat dalam acara keirin apabila masing-masing terkandas di pusingan pertama repechage.

“Shah Firdaus agak mengecewakan jika melihat keputusannya. Namun, dia bernasib malang apabila mengalami keracunan makanan di Malaysia pada malam kami berlepas ke Hong Kong dan sakit teruk selama dua hari sehingga kehilangan 5kg (kilogram).

“Jadi, sudah tentu dia tidak mampu untuk mempamerkan pretasi terbaiknya selepas apa yang dialaminya itu,” kata Beasley kepada BH Sukan.

Sementara itu, pelumba wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri turut mengalami nasib sama dalam perlumbaan keirin, hari ini.

Nurul Izzah berada di tempat keempat dalam saringan ketiga pusingan pertama dan kemudiannya mengakhiri saingan di tangga ketiga dalam pusingan pertama repechage.

Bagi acara keirin wanita, hanya juara layak ke pusingan seterusnya.

Pusingan ketiga Piala Negara-Negara akan berlangsung di Milton, Kanada dari 12 hingga 14 April depan.-Berita Harian

Aifa sandaran di Terbuka Australia

Kuala Lumpur: Pemain skuasy wanita negara dilihat berpeluang cerah untuk melakarkan kejutan di Terbuka Australia yang akan bermula minggu depan.

Kejohanan yang menawarkan hadiah kemenangan AS$52,500 (RM246,986) menyaksikan skuad wanita negara akan diwakili oleh Aifa Azman, Aira Azman dan Rachel Arnold.

Manakala barisan pemain lelaki akan dibarisi Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar, Mohamad Syafiq Kamal dan Sanjay Jeeva

Namun ketika barisan pemain wanita dilihat berpeluang cerah melakar kejutan, barisan pemain lelaki dilihat berdepan rintangan untuk melepasi pusingan pertama.

Jurulatih kebangsaan, Andrew Cross berkata, berdasarkan kedudukan ranking yang rendah tiga pemain lelaki negara meletakkan mereka dalam keadaan sukar untuk melepasi pusingan pertama.

Namun Cross meletakkan kepercayaan yang tinggi untuk mereka melakar kejutan dan mempamerkan prestasi terbaik masing-masing.

“Saya lihat pemain wanita negara mempunyai harapan cerah untuk melangkah lebih jauh tapi dalam saingan lelaki pula agak sukar biarpun pemain yang berada di ranking terbaik dunia tidak menyertai kejohanan itu.

“Bagi pemain wanita, agak menarik terutamanya pertemuan dua beradik, Aifa dan Aira Azman buat kali pertama di pentas antarabangsa.

“Tapi apa yang penting adalah lepasi pusingan pertama terlebih dahulu,” katanya.

Berdasarkan undian, Jeeva yang berada di ranking ke-80 dunia, akan berdepan lawan agak seimbang, Toufik Mekhalfi (76) dari Perancis, Addeen (65) berdepan pemain Hong Kong, Wong Chi Him (103) dan Syafiq (104) menentang seorang lagi pemain Hong Kong, Tang Ming Hong (89).

Terbuka Australia akan berlangsung 20 hingga 24 Mac ini.

Sementara itu, S Sivasangari pula sedang mempersiapkan diri bagi menghadapi kejohanan London Classic dari 27 Mac hingga 1 April ini.-Harian Metro

Alia Sazana optimis ke Olimpik Paris

Kuala Lumpur: Atlet menembak negara, Alia Sazana Azahari tetap optimis untuk melayakkan diri ke temasya Paris Julai ini.

Peluang masih terbuka buat atlet berusia 32 tahun itu dengan menyertai kejohanan kelayakan terakhir iaitu di Piala Dunia Rio de Janeiro, Brazil yang akan bermula dari 11 hingga 20 April ini.

Ia adalah peluang terakhir untuk kesemua penembak memburu kelayakan.

“Saya sudah menyuarakan hasrat untuk ke Rio kepada jurulatih yang mana jurulatih perlu memainkan peranan membawa usul itu kepada MSN (Majlis Sukan Negara)

“Rio adalah peluang terakhir saya dan saya akan berusaha untuk ke sana dan berharap jurulatih akan dapat meyakinkan MSN untuk membenarkan saya ke Rio,” katanya yang beraksi dalam acara 25 meter pistol.

Alia sebelum ini gagal menempatkan diri di dua kejohanan iaitu Kejohanan Asia di Korea Selatan dan di Jakarta bulan lalu.

Namun dia tidak akan mengalah untuk cuba mengikuti jejak langkah Johnathan Wong Guanjie yang sudahpun menempatkan diri ke temasya terbesar itu.

Untuk melayakkan diri ke Paris, atlet kelahiran Terengganu itu perlu menamatkan saingan dalam kelompok lapan terbaik seterusnya layak secara automatik ke Paris.

Alia, yang memenangi gangsa 25m pistol dalam Sukan Komanwel 2018 dan pingat perak Sukan Sea Hanoi, Vietnam berkata, dia amat berharap MSN dan Persatuan Menembak Kebangsaan (NSAM) akan memberinya peluang ke Rio yang mana dia sudah menjalani melakukan persediaan yang rapi.

“Saya tak akan membiarkan perkara di Jakarta berulang apabila saya melakukan perubahan pada grip pistol saya. Saya melakukan pelarasan pada grip dan ia menjadi longgar dari sepatutnya.

“Ketika ini saya sudah melakukan pelarasan terbaik dan sudah berlatih dengan pelarasan baru itu sejak dari awal lagi,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan berlainan Johnathan dijadualkan beraksi di Piala Dunia di Munich, Jerman dari 31 Mei hingga 7 Jun ini sebagai persediaan untuk menghadapi temasya Olimpik.-Harian Metro

Azizulhasni tidak sertai Piala Negara-Negara UCI di Hong Kong

KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang tidak akan menyertai saingan Piala Negara-Negara UCI yang berlangsung di Hong Kong bermula hari ini.

Menurut ketua jurulatih negara, John Beasley, keputusan itu dibuat selepas Azizulhasni dan seorang lagi pelumba negara, Shah Firdaus Sahrom sudah mempunyai mata yang cukup untuk layak beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024.

Beasley, berkata Azizulhasni yang sebelum ini menghidap Perikarditis akan memberikan tumpuan kepada program latihannya sebagai persiapan menghadapi temasya di Paris.

Katanya, hanya Shah Firdaus, Muhammad Ridwan Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri akan beraksi di Hong Kong.

“Kami memutuskan untuk Azizulhasni fokus kepada latihannya kerana dia sudah pun mempunyai mata yang mencukupi untuk melayakkan diri ke Paris. Selepas perlumbaan di Adelaide (Piala Negara-Negara), Azizulhasni terlepas waktu latihan kerana masalah kesihatan.

“Dia ketika ini secara perlahan-lahan dalam proses untuk mendapatkan kembali momentumnya.

“Untuk Shah Firdaus, dia juga dalam situasi yang baik untuk layak ke Paris berdasarkan mata yang dikumpulnya. Jadi, kejohanan di Hong Kong ini lebih kepada latihan buat dirinya untuk menilai tahap prestasinya.

“Seperti yang semua tahu dia mengalami kemalangan sebelum perlumbaan di Adelaide dan memerlukan masa untuk kembali kepada prestasi terbaiknya” kata Beasley.

Pada siri pertama Piala Negara-Negara di Adelaide, Azizulhasni berjaya memenangi pingat emas dalam acara keirin sebelum menamatkan saingan pecut individu di tempat keempat.-Berita Harian

Pearly-Thinaah kandas di suku akhir Seluruh England

KUALA LUMPUR: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah terlepas peluang terbaik untuk mara ke separuh akhir Seluruh England buat kali pertama selepas perjuangan mereka terhenti di suku akhir, hari ini.

Pasangan ranking ke-15 dunia terpaksa akur apabila tewas di tangan beregu ke-11 dunia dari Jepun, Rena Miyaura-Ayako Sakuramoto dalam pertarungan tiga set yang berlangsung selama 73 minit di Utilita Arena Birmingham.

Pearly-Thinaah bermula garang apabila memenangi set pertama 21-11 tetapi lawan mereka berjaya bangkit di set kedua untuk menang 21-18 sekali gus mengheret aksi ke set penentuan.

Aksi set penentuan berlangsung sengit tetapi Pearly-Thinaah akhirnya terpaksa akur dengan kekalahan 18-21 sekali gus meleburkan impian mereka untuk melangkah ke separuh akhir.

Sebagai rekod, ini adalah kali kedua berturut-turut Pearly-Thinaah tewas di tangan Miyaura-Sakuramoto selepas turut mengalami nasib sama ketika suku akhir Masters Kumamoto di Jepun pada November tahun lalu.

Keputusan di Seluruh England kali ini menyaksikan Pearly-Thinaah menyamai pencapaian terbaik mereka sebelum ini apabila dua kali mara ke suku akhir pada edisi 2021 dan 2022.

“Sudah tentu kami kecewa. Kami melakukan beberapa kesilapan ketika mata penting dalam perlawanan dan ia memberi kesan kepada kami.

“Bagaimanapun, berbanding prestasi dalam beberapa kejohanan terakhir sebelum ini, ada peningkatan dalam permainan kami kali ini dan kami percaya kami berada di landasan tepat.

“Masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki dan kami berharap boleh terus meningkatkan lagi prestasi kami,” kata Thinaah kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).-Berita Harian

Fikir masak-masak jika mahu anjur Sukan Komanwel 2026

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu berfikir semasak-masaknya dan mempertimbangkan secara serius tawaran untuk menganjurkan temasya Sukan Komanwel 2026, kata bekas Pengerusi Sukom Ninety Eight Berhad Jen (B) Tun Mohamed Hashim Mohd Ali.

Mohamed Hashim secara peribadi berpandangan kerajaan perlu menangguhkan hasrat jika benar mahu menganjurkan temasya sukan empat tahun sekali itu kerana Malaysia tidak berada di kedudukan terbaik untuk melakukannya dari segi masa dan langkah penjimatan yang sedang dilakukan kerajaan.

Bekas Panglima Angkatan Tentera itu menganggap tempoh berbaki kira-kira dua tahun terlalu singkat untuk melakukan persiapan intensif sekali gus meragui kemampuan Malaysia mengulangi pencapaian membanggakan sewaktu menjadi tuan rumah buat julung kali pada 1998.

“Masa kita ditawarkan jadi tuan rumah dulu, kita ada empat tahun untuk buat persiapan antaranya menaik taraf venue, mendapatkan penajaan dan menyediakan infrastruktur. Kali ini diberi tempoh dua tahun saja…kalau nak buat betul-betul dan setaraf dengan edisi 1998 saya rasa tak boleh sebab waktunya singkat.

“Kalau ada empat tahun kita boleh dapatkan penaja, itu yang dilakukan sebelum ini dan kerajaan terpaksa buat, kita tubuh sebuah syarikat iaitu Sukom 98 yang mengendalikan temasya itu,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata jika mahu menganjurkannya sendiri, kerajaan perlu mengeluarkan sejumlah bajet yang besar bagi menampung pelaburan kewangan menjangkau 100 juta pound (kira-kira RM601 juta) yang hadir bersama tawaran diberikan.

Namun katanya dengan kedudukan ekonomi ketika ini perkara itu dilihat akan membuka pintu kepada pengkritik.

“Kalau ada begitu banyak wang tujukan kepada rakyat, manfaatkan mereka dengan membina hospital ataupun sekolah. Kalau buat (anjurkan) terbuka nanti pintu untuk orang katakan ini tak sesuai kerana kerajaan gunakan wang sebanyak itu untuk perkara lain dan bukannya rakyat.

“Kenapa Australia (Victoria) tak mahu, mesti mereka ada sebab-sebabnya, jadi saya rasa kita pun tak perlu terkejar-kejar untuk anjurkannya pada 2026, belum lagi, sekarang terlalu suntuk untuk melakukan persiapan,” kata figura berusia 89 tahun itu.

Isnin lepas, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengesahkan Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) menawarkan peluang kepada Malaysia untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 bagi menggantikan Victoria, Australia yang menarik diri tahun lepas.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh ketika menggulung Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Dewan Rakyat, Rabu lepas berkata keputusan sama ada Malaysia akan menganjurkan Sukan Komanwel 2026 atau tidak akan dibincangkan di Kabinet, minggu depan.

Nasib Sukan Komanwel 2026 kekal menjadi tanda tanya selepas Victoria, yang sepatutnya menjadi tuan rumah edisi ke-23 itu, menarik diri pada Julai tahun lepas kerana peningkatan kos penganjuran daripada jangkaan awal AUD2.6 bilion (lebih kurang RM8.09 bilion) kepada AUD7 bilion (lebih kurang RM21.78 bilion).

Kerajaan Victoria juga dilaporkan bersetuju untuk membayar AUD380 juta kerana melanggar kontrak, apabila tidak dapat menganjurkan temasya itu mengikut jadual bermula 17 hingga 29 Mac, 2026.

Bukan sahaja Victoria, India juga tidak berminat untuk menjadi pengganti bagi edisi 2026 selain wilayah Alberta di Kanada turut menarik diri daripada proses bidaan Sukan Komanwel 2030 selepas seminggu Victoria mengumumkan menarik diri.

Dari 74 negara dan wilayah yang menjadi ahli CGF, hanya England, Kanada, Australia, Wales, New Zealand, Jamaica, Scotland, India dan Malaysia pernah menjadi tuan rumah.

– BERNAMA

Tang Jie-Ee Wei perlu segera lonjak prestasi

KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dituntut untuk melipat gandakan usaha bagi melonjakkan prestasi mereka berbaki empat bulan sebelum Sukan Olimpik Paris 2024 bermula Julai depan.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky, berkata pasangan nombor sembilan dunia itu perlu mengubah cara berfikir ketika di dalam gelanggang dan harus sedar betapa tiada jalan mudah untuk mereka memenangi perlawanan.

“Semuanya terletak di tangan pemain itu sendiri, kita sudah banyak kali berbincang mengenai apa yang mereka perlu buat.

“Pemain sendiri perlu ada usaha untuk berubah. Mereka tidak boleh bermain ikut ‘mood’ mereka saja, mahu cara yang senang sahaja untuk mengutip mata, tidak boleh ada susah sedikit.

“Apabila ada susah sedikit, terus mereka jadi binggung dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan.

“Pemain sendiri harus sedar bukan hanya jurulatih yang harus fikir bagaimana untuk ubah mereka.

“Apa yang diperkatakan jurulatih itu seharusnya disimpan dalam otak dan dilakukan di dalam latihan serta terjemahkannya dalam perlawanan.

“Ini bukan masalah kemahiran atau teknik tetapi lebih kepada cara mereka berfikir di dalam gelanggang yang buatkan mereka sering terkandas,” kata Rexy kepada BH Sukan.

Terdahulu, Tang Jie-Ee Wei dikejutkan dengan kekalahan di pusingan kedua Seluruh England selepas tewas di tangan beregu Belanda, Robin Tabeling-Selena Piek 21-17, 19-21, 16-21.

Ia adalah kekalahan pertama mereka di tangan lawan berkenaan selepas menang tiga pertemuan terakhir sebelum ini.

Kekalahan itu menyaksikan mereka gagal mengekalkan momentum selepas berjaya menyingkirkan bekas juara dunia dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai di pusingan pertama.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia