Majlis Sukan Negara Malaysia
Aniq sasar angkat 305kg

KUALA LUMPUR: Badang negara, Mohamad Aniq Kasdan ada misi peribadi untuk mengangkat bebanan keseluruhan 305 kilogram sekali gus memperbaharui rekod kebangsaan yang dilakukannya di Kejohanan Angkat Berat Dunia Grand Prix II Qatar, Disember lalu.

Pemegang rekod kebangsaan dalam kategori 61 kilogram (kg) dengan angkatan 296kg itu dijadual menyertai kejohanan kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 terakhir di Phuket, Thailand pada April ini dan baginya, proses untuk melunaskan sasaran berkenaan akan dilakukan secara peringkat demi peringkat.

“Kelayakan terakhir adalah pada April nanti di Thailand. Selepas itu, baru dapat senarai 10 teratas yang akan ke Olimpik Paris. Saya mempunyai sasaran peribadi untuk melakukan 305kg. Insya-Allah saya akan cuba capai.

“Begitupun, Di Thailand nanti, saya letakkan sasaran 300kg,” kata Aniq yang berada dalam senarai atlet porgram Road To Gold (RTG) itu dan pada ketika ini, berada dalam keadaan fizikal terbaik untuk memburu kelayakan ke Paris 2024.

Katanya, dia memperoleh banyak kelebihan di RTG seperti perkhidmatan di Institut Sukan Negara, peralatan dan juga elaun tambahan.

“Semua itu dapat membantu saya untuk lebih bermotivasi. Daripada sudut pemulihan, (dengan bantuan RTG), ia lagi cepat dan pemakanan juga bagus.

“Untuk angkat berat, lebih kepada pemulihan dan pemakanan. Itu sangat penting kerana kami mengangkat bebanan berat dan boleh tercedera tetapi proses pemulihan itu akan lebih cepat (dengan bantuan khidmat RTG). Jadi itu adalah antara manfaatnya,” kata Aniq.

Aniq ketika ini di landasan tepat untuk ke temasya terbesar dunia di Paris selepas menduduki tangga ketujuh ranking kelayakan manakala seorang lagi rakan seperjuangannya, Mohamad Aznil Bidin berada di tangga ke-17 untuk senarai panjang kelayakan Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF).

“Persaingan (dengan Aznil) sihat. Kami saling menyokong antara satu sama lain dan mana yang saya kurang pengalaman, saya akan tanya kepada dia,” kata Aniq yang turut menerima motivasi tambahan apabila dinobatkan sebagai Olahragawan Universiti Teknologi MARA (UiTM) 2023, semalam.-Berita Harian

Skuad memanah para intai dua tiket ke Paris menerusi Fazza Dubai

SKUAD memanah para negara bertekad untuk membidik dua slot kelayakan tambahan ke Sukan Paralimpik Paris 2024, pada kejohanan kelayakan terakhir – Kejohanan Ranking Dunia Memanah Para Fazza kelapan bermula 2-7 Mac ini di Dubai, Emiriah Arab Bersatu.

Ketua jurulatih memanah para negara, Marzuki Zakaria berkata, sandaran itu, diletakkan ke atas Paralimpian Tokyo 2020, Wiro Julin, G. Daneshen (kedua-duanya compound lelaki) dan Nurfaizal Hamzah (recurve lelaki).

Setakat ini, juara dunia memanah para 2019, S. Suresh dan atlet wanita terbaik temasya Para Sukan Malaysia (Sukma) 2022, Nur Jannaton Abd Jalil, telah mengesahkan tiket ke Paris pada Kejohanan Memanah Para Kelayakan Benua Asia di Bangkok, Thailand hujung tahun lepas, masing-masing sebagai juara recurve lelaki dan naib juara compound wanita.

Skuad negara kini sedang menjalani kem latihan selama seminggu bermula semalam bersama atlet universiti dan Sukma di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Terengganu, bagi memastikan misi di Dubai berjaya kerana hanya dua pemanah terbaik (finalis) bagi setiap kategori, akan layak ke Paris.

Marzuki berkata, kem di Terengganu itu, bertujuan meningkatkan ketahanan anak buahnya dari segi mental dan fizikal, kerana menjangkakan cabaran sengit daripada peserta dari seluruh dunia untuk merebut slot kelayakan di Dubai.

“Kita akan berlatih biasa untuk dua hari, kemudiannya akan mempunyai latihan menggunakan format kejohanan sebenar berdepan atlet normal dari UniSZA, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan atlet Sukma Terengganu, untuk menguji tahap persediaan atlet kita.

“Latihan mencabar diharap dapat meningkatkan teknik dan skil mereka, selain membantu memperbaiki mata pada pusingan kelayakan pada kejohanan sebenar nanti. Mereka perlu memberikan lebih 100 peratus komitmen untuk mencapai misi itu.

“Kita meletakkan harapan besar ke atas Wiro yang pernah layak ke temasya Tokyo, serta Daneshen yang hampir layak ke Paris, namun terlepas dengan satu mata pada kejohanan sebelum ini, untuk meraih tiket pada kali ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata, walaupun Suresh dan Nur Jannaton telah meraih slot ke Paris, mereka juga dituntut untuk menampilkan prestasi terbaik pada kem latihan dan di Dubai, sebagai persediaan ke temasya Paralimpik bermula 28 Ogos hingga 8 September ini. – Bernama

Keresahan Chong Wei tidak cerminkan prestasi keseluruhan – Norza

KUALA LUMPUR: Keresahan disuarakan legenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei susulan keputusan kurang memberangsangkan pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 mempunyai asas tersendiri namun ia tidak menggambarkan keseluruhan prestasi pasukan negara ketika ini.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata ini kerana badan induk itu sentiasa melipatgandakan usaha mempersiapkan skuad negara mengharungi saingan Sukan Olimpik Paris 2024.

Beliau berkata adalah mustahil untuknya melakukan perubahan gerak kerja BAM dalam masa terdekat ini memandangkan berbaki kurang beberapa bulan sahaja lagi sebelum temasya berprestij itu membuka tirai pada 26 Julai depan.

“Saya sudah bercakap dengan Chong Wei semalam dan seperti biasa ia luahan perasaan beliau terhadap pemain kita. Saya kata kepada Chong Wei (sebenarnya itu) adalah keresahan semua pihak,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Namun beliau berkata seperti komennya sebelum ini, keputusan BATC bukanlah terlalu mengecewakan apabila meraih naib juara (pasukan lelaki) selain pemain dibelenggu kecederaan (di luar jangkaan).

Mohamad Norza berkata pihaknya sentiasa berhubung dengan Chong Wei yang juga ahli jawatankuasa program Road to Gold (RTG) dan pengurus pasukan skuad badminton ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Malah beliau melahirkan harapan agar pemenang tiga pingat perak Olimpik itu mampu berkhidmat sepenuh masa untuk berkongsi kemahiran serta membimbing skuad negara yang bernaung di badan induk itu pada masa hadapan.

“Kami sentiasa berhubung kerana dia sebahagian daripada RTG dan terbabit dalam perbincangan kita untuk mempersiapkan pasukan badminton ke Olimpik. Mungkin, apa yang beliau tidak nampak (masa sekarang) ialah ramai pelapis (dalam pasukan).

“…tapi apapun keputusan, kami berharap mungkin selepas Olimpik (Paris 2024) dia boleh masuk ke dalam BAM. Kami ambil maklum balas yang baik daripada Chong Wei tapi tak boleh cakap dekat luar sahaja,” katanya.

Beliau berkata komitmen ditunjukkan Chong Wei untuk “mengangkat” sukan badminton di negara ini perlu dibanggakan apabila beliau ialah pakar yang telah menyumbang tenaga selama 19 tahun dengan pelbagai pencapaian di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

“Saya terima dengan hati terbuka kerana Chong Wei merupakan autoriti yang boleh bercakap tentang perkara ini. Kalau orang yang tiada kena-mengena memang saya resah tapi ini autoriti,” katanya.

Media tempatan semalam melaporkan Chong Wei berputus asa dengan sukan badminton di Malaysia dan memberi amaran bahawa perubahan drastik diperlukan untuk menyelamatkan sukan itu di negara ini.

BATC 2024 menyaksikan hasrat skuad lelaki negara untuk mempertahankan kejuaraan tidak kesampaian apabila tewas 0-3 kepada China pada aksi final yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam.

Dua tonggak perseorangan negara, Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong terpaksa direhatkan bagi beberapa perlawanan dalam kejohanan berkenaan kerana difahamkan masing-masing mengalami kesukaran bernafas akibat resdung dan kecederaan belakang.

Skuad wanita pula terkandas pada aksi suku akhir kepada penyandang gelaran, Indonesia 0-3. – BERNAMA

Shahmalarani semakin membara

Kuala Lumpur: Atlet karate yang mengharumkan nama negara, C Shahmalarani mengakui kejayaan menyumbangkan emas di Kejohanan Karate 1 Siri A Persekutuan Karate Dunia (WKF) di Larnaca, Cyprus menjadi pembakar semangat buat dirinya untuk terus melakar kejayaan lebih gemilang selepas ini.

Emas itu mampu menjadi tonik berharga buat dirinya apabila membuka musim 2024 dengan emas di peringkat dunia. Antara yang akan menjadi fokus utama buat atlet yang beraksi di bawah kategori 50 kilogram (kg) itu adalah untuk mempertahankan emas dimenanginya di Sukan Sea Thailand tahun depan.

“Saya gembira kerana berjaya mendapat emas di peringkat dunia dan emas pertama untuk tahun ini. Perjalanan tahun ini masih panjang dan banyak lagi kejohanan tawarkan mata untuk ranking. Tahun ini tak ada temasya besar seperti Sukan Sea atau Sukan Asia tapi ada kejohanan yang memberikan mata ranking.

“Jadi kejohanan seperti ini penting untuk saya timba pengalaman dan biasakan diri dengan persaingan di pentas dunia. Saya perlu bersiap sedia dari sekarang untuk pertahankan emas di Sukan Sea nanti,” katanya yang meraih emas di Kemboja 2023 dan Vietnam 2021.

Terdahulu Shahmalarani, 25, meraih emas di Larnaca selepas menewaskan atlet Sepanyol, Eva Rodriguez 9-5 untuk meraih pingat emas pertamanya bagi musim 2024.

Kejayaan itu sedikit sebanyak menebus kekecewaannya di pentas Sukan Asia Hangzhou apabila terkandas di pusingan 16 terbaik.-Harian Metro

Letshanaa dalam pembikinan perseorangan utama wanita

Kuala Lumpur: Masih ada sesuatu yang positif boleh diambil biarpun barisan pemain wanita negara tewas di aksi suku akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC).

Antaranya pemain wanita negara, K Letshanaa yang bersedia untuk mengisi kekosongan dalam acara perseorangan wanita dalam skuad negara.

Letshanaa berkata, dia bersedia mengambil tanggungjawab itu selepas nampak adanya peningkatan dari segi permainannya sebaik tamatnya aksi di BATC lalu.

Malah katanya, tiada yang mustahil untuk dia berada dalam kelompok 20 terbaik satu hari nanti.

“Saya lihat corak permainan permainan saya ada peningkatan sejak tahun lalu. Saya perlukan lebih banyak kejohanan lagi selepas ini.

“BAM (Persatuan Badminton Malaysia) juga sedang berusaha ke arah itu. Sebabnya dengan menyertai lebih banyak kejohanan saya dapat meningkatkan tahap permainan saya lagi selepas ini,” katanya.

Katanya, dia semakin rapat jurang permainan dengan pemain handalan seperti An Se Young, Tai Tzu Ying, Ratchanok Intanon dan Busanan Ongbamrungphan.

“Sebagai bukti ketika saya berdepan Busana dalam aksi terakhir Kumpulan Y jurang permainan dengan pemain itu semakin dekat.

“Sebab ketika di Sukan Asia, saya tewas mudah dan walaupun kali ini kalah, jurang mata itu dah semakin dekat,” katanya.

Letshanaa berkata, setiap kali bertemu lawan yang hebat, banyak dapat dipelajari daripada jaguh itu.

Justeru untuk kekal kompetitif dalam badminton, dia perlu mengubah corak pemikiran, kekuatan fizikal dan mentaliti yang kuat untuk kekal berdaya saing dengan pemain handalan dunia.

Untuk ke arah itu dia kini sudah pun turun sebanyak lapan kilogram dalam usahanya untuk mendapatkan fizikal yang lebih ideal.-Harian Metro

Tze Yong ‘dihantui’ kecederaan baharu

PEMAIN perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong terus berdepan cabaran untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 apabila dihimpit kecederaan baharu pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 yang ber­akhir Ahad lalu.

Ketua Pegawai Perubatan Sukan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Ooi Yu Hang mengesahkan, pemain ranking No.15 dunia itu mengalami kecederaan tulang belakang ketika menentang pemain Brunei pada aksi pertama BATC.

Tegas Yu Hang, masalah pemain berusia 24 tahun itu bukan kecederaan berulang seperti dialaminya pada Terbuka Malaysia bulan lalu iaitu koyak otot di bahagian ­belakang.

“Tze Yong mengambil suntikan sejak kecederaan tersebut. Untuk tempoh 10 hari ini kita perlu memantau keadaannya ke­rana doktor dari ISN (Institut Sukan Negara) menyarankan kita perlukan 10 hari untuk melihat bagaimana dia bertindak terhadap suntikan tersebut.

“Selama 10 hari ini, kami hanya membenarkan Tze Yong melakukan beberapa latihan ringan dan fokus utama adalah memperkuat otot bagi melindungi daripada kecederaan.

“Apapun, kecederaan ini berbeza dan tidak sama sewaktu menimpa Tze Yong di Terbuka Malaysia, lagipun kecederaan itu telah pulih.

“Kecederaan baharu ini berhubung dengan tulang belakang ‘spine’ dan juga terdapat masalah dengan disc. Selepas ini, Tze Yong akan menjalani rehabilitasi di ABM (Akademi Badminton Malaysia),” katanya.

Mengikut perancangan, Tze Yong sepatutnya beraksi pada Terbuka Perancis bermula 5 Mac ini dan seterusnya Seluruh England yang membuka tirai dari 12 hingga 17 Mac nanti.-Kosmo

Wee Wern umum gantung raket

PEMAIN skuasy wanita negara, Low Wee Wern akhirnya mengumumkan menggantung raket selepas dua dekad berbakti kepada negara dalam sukan tersebut.

Pemain berusia 32 tahun itu yang pernah menduduki ranking kelima dunia sebelum ini pernah menyuarakan hasrat tersebut tahun lalu selepas bergelut untuk mencapai prestasi terbaiknya.

“Dengan emosi yang bercampur-campur saya mengumumkan persaraan saya daripada skuasy profesional pada hari ini tidak dapat dielakkan tetapi betapa perjalanannya!

“Saya berterima kasih kepada pasukan saya yang menyokong saya, penaja saya dan semua orang sepanjang perjalanan.

“Sokongan yang tidak berbelah bahagi yang saya terima telah menjadi penggerak di sebalik perjalanan yang tidak dapat dilupakan ini,” katanya.

Biarpun tidak lagi aktif di gelanggang Wee Wern selepas ini, namun dia bertekad menyumbang kepada pembangunan pelapis baharu sukan itu.

“Walaupun bab ini berakhir, semangat saya untuk sukan ini dan memberi inspirasi kepada orang lain tetap kekal.

“Inilah permulaan baru, perjalanan baru yang penuh dorongan, keazaman dan motivasi.

“Saya teruja dengan peluang yang akan datang. Terima kasih semua kerana menjadi sebahagian daripada perjalanan yang luar biasa ini! Saya diberkati tidak terkata,” katanya.-Sinar

Malaysia akan kembali kuasai lompat tinggi Asia Tenggara

KUALA LUMPUR: Bekas jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei meramalkan Malaysia akan kembali menguasai sukan itu di peringkat Sukan SEA dalam tempoh lima tahun lagi.

Hup Wei yang kini menggalas tugas selaku jurulatih pelapis kebangsaan, berkata usaha sedang giat dijalankan bagi mencari bakat-bakat baharu dari seluruh negara untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

“Sebelum ini memang kita tiada atlet pelapis, jadi saya perlukan masa untuk menggilap bakat-bakat baharu.

“Sekarang kita sudah ada seorang atlet (Kuan Jhy Yunn) yang diserapkan dalam program pelapis di bawah MSN (Majlis Sukan Negara) tahun ini dan ada 10 atlet remaja di SSBJ (Sekolah Sukan Bukit Jalil).

“Ketika ini saya sedang menggiatkan usaha untuk mencari lebih ramai atlet berbakat dengan kerjasama MSSM (Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia).

“Untuk kita menjadi kuasa besar semula di peringkat Asia Tenggara, kita perlu kumpulan bakat baharu yang besar,” kata Hup Wei yang mengumumkan persaraannya pada 2022.

Menurut Hup Wei, pelan jangka pendek ketika ini adalah untuk mempersiapkan dua atlet lelaki dan wanita bagi menggalas cabaran negara di Sukan SEA Bangkok 2025.

“Saya akan cuba yang terbaik untuk bawa atlet ke Sukan SEA Bangkok 2025. Buat masa ini, saya harap kita mampu cari dua atlet lelaki dan dua wanita untuk temasya itu,” katanya.

Malaysia sebelum ini adalah kuasa besar lompat tinggi di Sukan SEA dengan Hup Wei dan seorang lagi bekas atlet negara, Nauraj Singh Randhawa berjaya menguasai acara itu sejak 2007.

Hup Wei memenanginya sebanyak empat kali bermula 2007 di Manila, 2009 (Vientiane), 2011 (Palembang) dan 2019 (Filipina) manakala Nauraj merekodkan kejuaraan pada 2013 (Napyidaw), 2015 (Singapura) dan 2017 (Kuala Lumpur).

Bagaimanapun, penguasaan Malaysia berakhir selepas Nauraj sekadar meraih perak di Hanoi, Vietnam dua tahun lalu.

Pada edisi terakhir di Kemboja, tahun lalu, emas menjadi milik atlet Thailand, Tawan Kaeodam.-Berita Harian

Badang Pahang mahu cipta nama di pentas antarabangsa

KUANTAN: Badang Pahang, Rahimi Sulaiman berjanji untuk memberikan yang terbaik bagi membalas kepercayaan selepas dipilih berada dalam kem angkat berat negara.

Bukan janji manis bulan dan bintang tetapi memadai untuk berusaha mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa dalam kategori 55 kilogram (kg) acara snatch.

Menurut atlet kelahiran Rompin itu, dia mula dipanggil untuk bersama pasukan kebangsaan bulan lalu dan kini sedang mengikuti latihan di Majlis Sukan Negara (MSN).

Katanya, dia kini bersama MSN sepenuh masa sehingga 2025, selain mengikuti latihan setiap hari menerusi pelbagai program diadakan termasuk menyertai pertandingan di pentas antarabangsa.

“Peluang menyertai pasukan angkat berat negara seolah membuka peluang kepada saya untuk melangkah lebih jauh dan melakar kejayaan dalam sukan angkat berat di peringkat antarabangsa.

“Saya meletakkan bekas atlet angkat berat negara yang memenangi pingat emas pada Sukan Komanwel 2002, Amirul Hamizan Ibrahim sebagai idola yang perlu dijadikan contoh sekiranya ingin mencipta kejayaan,” katanya.

Beliau menambah, selepas empat tahun sebagai atlet angkat berat Pahang, akhirnya impian berada dalam pasukan kebangsaan kini menjadi kenyataan.

Tumpuannya kini lebih kepada usaha melakukan angkatan yang terbaik.

Mengenai peluang merangkul pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 Sarawak, Rahimi berkata, dia begitu berhajat untuk melakar kejayaan tertinggi selepas mengadakan persiapan lebih dua tahun.-Berita Harian

Sonny Bill Williams kongsi ilmu ragbi

KUALA LUMPUR: Bekas pemain All Blacks, Sonny Bill Williams berbesar hati menjalin kerjasama dengan Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) sekiranya diberikan ruang pada satu hari nanti.

Williams yang meluangkan masa hampir satu jam bersama 60 peserta Program Pembangunan Ragbi Negara (NRDP) di Stadium Mini Majlis Sukan Negara di Bukit Jalil hari ini secara berseloroh berkata, dia amat terbuka sekiranya diberikan peluang sedemikian.

“Sudah pasti Insya-Allah. Tapi mungkin lutut saya tidak bersetuju. Apapun, saya suka untuk datang semula dan menjadi sebahagian daripada (keluarga) ragbi di Malaysia… tapi dalam kapasiti yang berbeza,” katanya kepada media selepas sesi bersama peserta NRDP, hari ini.

Dalam program berkenaan, seramai 60 peserta yang masing-masing terdiri daripada 30 lelaki dan 30 wanita berpeluang menimba pengalaman berharga bersama Williams yang diberikan jolokan ‘The Offload King’ terutama dari sudut kemahiran.

Turut hadir meluangkan masa pada program berkenaan adalah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim.

“Masa tidak cukup panjang. Tapi saya amat berbesar hati dengan program NRDP ini dan melihat langkah pertamanya… ada bakat di sana. Mungkin daripada sudut dana itu kecil tetapi bakat yang menyukai ragbi sangat kuat di Malaysia.

“Insya-Allah saya akan datang (semula ke Malaysia). Kalau saya datang, saya nak lihat perlawanan sebenar, ke sekolah, kolej dan menyaksikan perlawanan di tahap tinggi,” kata Williams yang memeluk Islam pada 2009 itu.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia