Majlis Sukan Negara Malaysia
Jun Hao rujuk Zii Jia cara tumbangkan Ka Long

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao berkata dia perlu melakukan sesuatu dalam usaha memberi mata kemenangan pasukan negara apabila turun pada perlawanan pertama menentang Hong Kong, Sabtu ini.

Katanya, apa yang akan dilakukan adalah cuba untuk mendapatkan ilmu dari jaguh perseorangan negara, Lee Zii Jia bagaimana cara terbaik untuk menjinakkan pemain Hong Kong yang kini berada di ranking ke-26, Ng Ka Long.

Bekas juara remaja Asia itu yang akan turun sebagai pemain perseorangan kedua dijangka akan berdepan Ka Long dan mereka tidak pernah bertemu di mana-mana kejohanan sebelum ini.

Namun Zii Jia sudah berdepan Ka Long tujuh kali dan meraih tiga kemenangan termasuk dua pertemuan terakhir mereka di Sukan Asia Hangzhou tahun lalu dan Masters Indonesia pada Januari lalu.

Justeru Jun Hao berkata dia akan mengorek ilmu dan memikirkan cara terbaik untuk menundukkan lawan itu.

“Skuad Piala Thomas negara kali ini lebih seimbang kerana kita mempunyai ramai pemain yang berpengalaman.

“Jadi saya mahu berikan yang terbaik untuk negara dan akan berusaha sehabis baik untuk memberikan mata.

“Saya akan bertemu dengan Zii Jia sebaik saja dia menyertai kem latihan negara nanti. Mungkin dia boleh bantu.

“Saya juga akan bincang dengan jurulatih untuk mencari strategi dan mengenai corak permainan Ka Long sebagai persiapan nanti,” katanya.

Terdahulu Zii Jia memilih untuk tidak bersama kem latihan negara di Akademi Badminton Malaysia (ABM) minggu lalu kerana mempunyai program bersama jurulatihnya Wong Tat Meng.

Dia bagaimanapun dijangka akan bersama skuad negara setibanya di Chengdu hari ini.

Selain Zii Jia dan Jun Hao, skuad negara turut menyenaraikan Cheam June Wei dan Justin Hoh dalam acara perseorangan.

Beregu pula dibarisi gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dan Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian.

Kali terakhir Malaysia muncul juara Piala Thomas adalah pada edisi 1992 di Kuala Lumpur.-Harian Metro

‘Jangan gentar turun beraksi’ – Mei Xing

Kuala Lumpur: Skuad Piala Uber negara sudah bersedia untuk turun mengibarkan cabaran dalam kempen Piala Uber di Chengdu, China, Sabtu ini.

Kapten pasukan, Teoh Mei Xing berkata, biarpun tiada sebarang harapan semua pemain perlu berani dan berikan yang terbaik.

Mei Xing yang dijadualkan bergandingan dengan Go Pei Kee, berkata, dia akan sentiasa membakar semangat rakan seperti mana ketika mereka menyanyikan lagu ‘Semangat Berpasukan’ sewaktu kem latihan pusat.

“Kami menyanyikan lagu itu setiap hari dan ia membantu meningkatkan semangat berpasukan kami.

“Pada awalnya, rakan sepasukan saya agak malu untuk menyanyikan lagu itu. Sebagai kapten, saya menunjukkan contoh saya menyanyi dengan kuat dan jelas, selepas galakan daripada saya pakar psikologi (Frederick Tan), mereka boleh hafal lirik dan menyanyi dengan kuat.

“Saya tegaskan kepada mereka, jika tidak berani untuk menyanyi, bagaimana mereka boleh bermain tanpa rasa gentar di dalam gelanggang nanti,” kata Mei Xing.

Tegasnya penyertaan di Piala Uber adalah medan terbaik untuk pemain muda yang membarisi skuad negara menimba pengalaman.

“Jangan gentar untuk memberi cabaran kepada pihak lawan. Hargai peluang yang dapat bila dapat bermain dalam Piala Uber ini.

“Ini bukan kejohanan kecil. Semua pemain handalan dunia turun. Jadi hargai peluang bagi beri yang terbaik,” katanya.

Pada kempen kali ini, skuad negara rata-ratanya dibarisi pemain muda dengan beregu terdiri daripada pemain berusia 18 tahun, Siti Zulaikha Azmi, Tan Zhing Yi (21), Ho Lo Ee (21), Chan Wen Tse (19) dan Pei Kee (22) manakala perseorangan diketuai Goh Jin Wei (24) K. Letshanaa (20), Wong Ling Ching (20) dan Siti Nurshuhaini Azman (19).

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B akan membuka tirai saingan menentang Taiwan pada Ahad ini sebelum menentang Thailand keesokan harinya dan Australia pada 1 Mei.-Harian Metro

Peluang Azeem catat bawah 10s

Kuala Lumpur: Pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi mempunyai sekurang-kurangnya empat lagi kejohanan di Amerika Syarikat (AS) dalam usahanya memburu catatan masa di bawah 10s sekali gus layak secara merit ke temasya Olimpik Paris.

Pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 10.09 saat (s) itu sekali lagi akan turun beraksi Sabtu ini dalam acara 100 meter (m) di kejohanan LSY Invitational di Baton Rouge, Los Angeles.

Selepas itu dia dijadualkan beraksi di Kejohanan SEC di Gansville, Florida dari 9 hingga 11 Mei, NCAA Preliminaries, Lexington (22-25 Mei) dan Kejohanan NCAA, Eugene Orlando (5-8 Jun) sebelum kembali ke tanah air menyertai Kejohanan Terbuka Malaysia dari 14-16 Jun ini.

Pengarah Kejurulatihan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Robert Ballard ketika ditemui berkata, pihaknya akan terus memantau pencapaian Azeem dengan mana dia berpeluang cerah untuk layak ke Paris sama ada menerusi catatan masa atau berdasarkan kedudukan ranking sebelum penghujung Jun nanti.

Katanya, Azeem berpeluang untuk mengukuhkan kedudukan rankingnya dengan muncul juara di Terbuka Malaysia pada 14 hingga 16 Jun ini.

“Ada beberapa lagi kejohanan yang Azeem akan sertai dan kami harap Azeem akan berlari lebih pantas sebelum dia kembali ke Malaysia.

“10.31s yang dicatatnya baru-baru ini adalah satu isyarat yang baik apabila dia menunjukkan peningkatan berbanding catatan 10.44s yang dilakukan sebelum ini.

“Jadi, kami berharap apabila Azeem tamat kejohanan terakhir di Amerika Syarikat, dia boleh menyertai Terbuka Malaysia. Apapun, saya meletakkan harapan cukup tinggi Azeem mampu capai 10s di AS,” kata Ballard.

Sebagai rekod, pada Ahad lalu, Azeem melakar rekod peribadi terbaik tahun ini dengan mencatat masa 10.31s dalam acara 100 meter (m) untuk menduduki tempat ketiga dalam saringan satu pada Kejohanan Tiger Track Classic di Alabama, AS.-Harian Metro

Peluang Azeem ke Paris masih terbuka

BIARPUN sukar, namun tidak mustahil buat jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi untuk meraih slot ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Penganalisis Sukan, Zakaria Rahim berkata, peluang buat Azeem masih terbuka, namun pelari berusia 20 tahun itu perlu bekerja keras berganda ketika temasya tersebut berbaki 94 hari lagi.

Beliau berkata, berdasarkan catatan terbaik Azeem pada musim ini iaitu 10.31 saat (s) agak sukar buat pelari Universiti Auburn, Amerika Syarikat (AS) itu layak secara merit ke Paris yang menetapkan syarat 10s.

“Kenyataan yang pedih, tapi ia satu kebenaran. Namun ini tak bermakna dia tak boleh capai langsung. Cuma Azeem perlu bekerja double-time untuk mencapainya.

“Hanya kerja keras semasa latihan dengan sistem diet yang tersusun mampu membantu Azeem. Setakat ini saingan di Universiti Auburn dan pada kejohanan-kejohanan di AS banyak membantu, tapi belum mencukupi.

“Peluang masih terbuka, hanya menunggu masa mendengar khabar gembira. Layak secara merit acara 100m Sukan Olimpik sudah satu pingat emas buat Malaysia. Semoga Azeem berjaya mencapai cita-citanya,” katanya.

Azeem pada Ahad melakar rekod peribadi terbaik tahun ini apabila mencatat masa 10.31s dalam acara 100 meter (m) untuk menduduki tempat ketiga dalam saringan satu.

Catatan tersebut dibuat dalam Kejohanan Olahraga Tiger Klasik di Alabama, AS pada Ahad.

Zakaria menjelaskan, Azeem mempunyai masa hingga 30 Jun untuk merekod catatan 10s yang berbaki lebih dua bulan menjelang temasya terbesar dunia itu.

“Untungnya apabila berada di AS, selain latihan yang lebih sistematik, di sana juga ada banyak kejohanan untuk dia berpeluang memperbaiki masa dari semasa ke semasa. Azeem perlu bekerja lebih keras lagi.

“Acara 100m lelaki pada Sukan Olimpik akan bermula pada 3 Ogos. Andai gagal layak secara merit dia masih berpeluang untuk bertanding di Paris secara wildcard.

“Namun dia kena melalui pusingan kelayakan terlebih dahulu sebelum ke saringan awal. Bagi mengelak tersingkir di peringkat kelayakan, Azeem perlu tingkatkan kemampuan sekurang-kurang konsisten melakukan di bawah 10.1s,” katanya.-Sinar Harian

Proaktif perkasa Muay Thai

SUDAH tiba masanya sukan Muay Thai diperkasa bagi melahirkan lebih ramai jaguh berkualiti untuk diketengahkan ke pentas antarabangsa.

Jurulatih Kelab Kuda Merah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Mohamad Ridhwan Mat Zain berkata, biarpun Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) sudah memainkan peranan mereka, namun ia belum mencukupi.

Beliau berkata, penglibatan lebih aktif dan mantap perlu disepadu melibatkan semua persatuan Muay Thai negeri yang bernaung di bawah Persatuan Muay Thai Malaysia (PMM).

“KBS dan MSN wajar memainkan peranan untuk memaksimumkan kegiatan persatuan Muay Thai negeri. Ada persatuan negeri yang aktif dan ada sebaliknya. Jika semua memainkan peranan pada tahap maksimum pasti ramai lagi juara dapat kita lahirkan.

“Buat masa ini apa yang saya tahu kebanyakan latihan di kelab-kelab dan bukan di bawah persatuan negeri.

“Banyak bakat baharu yang lahir adalah dari kelab-kelab persendirian dan tidak mengikut saluran yang tepat sehingga kemajuan petinju itu terbantut dan kian tenggelam. Sepatutnya bakat mereka boleh diketengahkan lagi,” katanya kepada Sukan Sinar baru-baru ini.

Atlet Muay Thai negara, Mohd Rifdean Masdor melakar sensasi apabila menumpaskan wakil Thailand, Pichai Lookbanmai dengan pukulan Technical Knockout (TKO) dalam pertarungan ONE Friday Fights 56 di Thailand bulan lalu.

Kemenangan menakjubkan itu diraih dalam masa 1 minit 18 saat pada pusingan pertama pada aksi ONE Championship di Stadium Tinju Lumpinee, Bangkok.

Mohamad Ridhwan juga percaya masih ada lagi bakat terpendam yang menunggu masa untuk ‘meletup’ kerana mereka bukan sahaja mempunyai kelebihan dan kekuatan tersendiri, tetapi memiliki ‘roh’.

“Sebagai bukti ramai jaguh kita telah menempa nama di luar negara.

Kejutan ini adalah baru sebahagian sahaja, sebab ramai lagi saya tengok bakat baharu yang amat berpotensi. Ia bukan sekadar ada bakat, tapi ada ‘jiwa,” katanya.

Justeru beliau berharap pemegang taruh dengan kerjasama PMM dan kelab-kelab Muay Thai dapat berganding bahu untuk lebih proaktif memantapkan sukan tersebut.

“Jika pihak berwajib dapat memperkasa dan membangunkan Muay Thai daripada pelbagai sudut termasuk pencarian bakat, aspek latihan dan pemberian insentif, saya percaya kita mampu menjadi negara yang digeruni di pentas dunia dalam sukan Muay Thai,” katanya.-Sinar Harian

Aidil sasar emas di Dubai

KUALA LUMPUR: Bintang muda meningkat naik, Pengiran Aidil Auf Hajam tampil dengan misi serampang dua mata pada Kejohanan Olahraga Bawah 20 tahun (B-20) di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dari 24 hingga 27 April ini.

Atlet berusia 19 tahun berasal dari Sandakan, Sabah itu, berkata dia mahu membawa pulang pingat emas daripada kejohanan kali ini sekali gus menebus kekecewaan sekadar meraih gangsa dalam dua penampilan sebelum ini di Kuwait dan Korea Selatan.

Katanya, kejohanan di Dubai itu turut menjadi medan untuk dia memburu tiket bagi membuat kemunculan sulung di Kejohanan Olahraga Dunia B-20 di Lima, Peru pada Ogos depan.

“Ini adalah kali ketiga saya menyertai kejohanan ini (Kejohanan Olahraga Asia B-20). Sebelum ini, dua kali saya meraih gangsa.

“Jadi, saya harap boleh tukar warna pingat itu kepada emas pada penyertaan kali ini.

“Kejohanan ini juga adalah peluang saya untuk mengesahkan tempat ke Kejohanan Olahraga Dunia B-20.

“Untuk layak, saya perlu melepasi had kelayakan 21.35 saat yang ditetapkan WA (Olahraga Dunia). Saya percaya saya boleh lakukannya kerana catatan terbaik saya hanya kurang satu saat daripada had kelayakan,” kata Aidil.

Sebagai rekod, catatan peribadi Aidil dalam acara 200 meter ialah 21.36s yang dilakukan ketika saingan Terbuka Singapura tahun lalu.

Menurut Aidil, jika layak ke Kejohanan Dunia, dia bersedia untuk melupakan aksi di Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak bagi melakukan persiapan rapi ke Peru.

SUKMA Sarawak akan berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos manakala Kejohanan Dunia akan bermula tiga hari selepas tamat temasya itu.

Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi berjaya mencipta sensasi pada penampilan di Kejohanan Dunia B-20 pada 2022 di Colombia apabila dia memecahkan rekod kebangsaan dengan mencatat 10.09s.-Berita Harian

Nurul Izzah Izzati wajar disenarai ke program Fast Track RTG

KUALA LUMPUR: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) percaya pelumba trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri harus disertakan dalam program Fast Track di bawah inisiatif Road to Gold (RTG) selepas secara rasmi layak ke ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Pemangku Timbalan Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill berkata langkah itu akan membantu mengembangkan sepenuhnya potensi pelumba berusia 21 tahun itu untuk mencabar pelumba terbaik dunia pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Beliau berkata, Nurul Izzah Izzati, yang mengesahkan penampilan sulungnya dalam Sukan Olimpik Paris 2024 dari 23 Julai hingga 11 Ogos ini dalam acara keirin dan pecut boleh memaksimumkan keupayaannya dengan sokongan dan latihan yang betul.

“Saya tidak akan memberi tekanan kepadanya untuk Sukan Paris. Ini penampilan pertamanya jadi kami perlu lebih praktikal dan dia masih mempunyai banyak potensi.

“Penyertaannya di bawah Program Fast Track akan menjadi sangat baik. Walaupun dia mungkin bukan pencabar pingat (di Paris), dia perlu dimasukkan di bawah program itu kerana tumpuan kita sepatutnya empat tahun ke depan, bukannya dua bulan (ke Paris),” katanya kepada Bernama hari ini.

Amarjit berkata, walaupun pelumba itu tidak menyerlah pada penampilan pertama di Kejohanan Piala Negara-Negara UCI 2024 di Milton, Kanada, minggu lalu apabila menamatkan saingan di tempat kelapan acara kerin namun berjaya layak ke temasya Olimpik.

Pencapaian dua emas masing-masing dalam acara kerin dan 500 meter ujian masa pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di New Delhi Februari lalu turut membantu beliau dalam proses kelayakan ke Paris 2024.

Terdahulu, Amarjit mengumumkan bahawa Nurul Izzah Izzati, bersama-sama jaguh berbasikal trek lelaki Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom telah melayakkan diri secara rasmi ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Majlis Sukan Negara (MSN) telah memulakan Program Fast Track RTG dengan misi mewujudkan atlet muda dan berbakat berumur antara 16 hingga 25 tahun yang berpotensi untuk memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Pemain skuasy Ng Eain Yow, S Sivasangari, Aifa Azman dan Aira Azman serta penerjun Bertrand Rhodict Lises dan Enrique Maccartney Harold telah disenaraikan dalam program Fast Track RTG.

Sementara itu, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (OCM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengucapkan tahniah kepada trio berbasikal trek atas kelayakan mereka untuk Paris 2024.

“Saya percaya dengan pengalaman dan tekad mereka, kedua-dua Azizulhasni dan Shah Firdaus akan melakukan yang terbaik bagi menyumbang pingat untuk Malaysia.

“Manakala bagi Nurul Izzah, pelumba muda masa depan kita, saya gembira dia berjaya layak. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terbaik kepada mereka dalam persediaan mereka menjelang Olimpik,” katanya dalam satu kenyataan. – BERNAMA

Piala Thomas: Kem badminton perlu main peranan masing-masing – Hannah

PUTRAJAYA: Skuad badminton negara yang menggalas cabaran di kejohanan Piala Thomas 2024 berlangsung di Chengdu, China bermula Sabtu ini diminta memainkan peranan masing-masing dalam usaha menjulang piala keramat yang kali terakhir diraih kem badminton Piala Thomas 1992.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata semangat kerjasama ditunjukkan kem badminton ketika itu ialah kunci kejayaan utama Malaysia berhasil menjulang piala itu, 32 tahun lepas.

“Saya harap skuad negara baik lelaki mahupun wanita (Piala Uber) akan mainkan peranan masing-masing dalam kejohanan itu dan yang paling penting adalah kerjasama sepasukan. Mereka kena benar-benar bertarung kerana Piala Thomas amat penting buat peminat sukan tanah air.

“Mereka perlu melakukan yang terbaik, ada atau tiada peluang. Saya hanya berharap setiap pemain dapat menyumbang, itu paling penting. Mereka tidak boleh hanya memikirkan tentang diri sendiri, semangat itulah yang kita lihat pasukan 1992 ketika mereka bersaing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara KBS dan dengan industri bagi pelaksanaan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Gig di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), di sini, hari ini.

Kali terakhir Malaysia muncul juara Piala Thomas adalah pada edisi 1992 di Kuala Lumpur dengan pencapaian terbaik skuad negara selepas itu adalah empat kali muncul naib juara iaitu pada 1994 (Jakarta, Indonesia), 1998 (Hong Kong), 2002 (Guangzhou, China) dan 2014 (New Delhi, India).

Pada saingan kali ini, Malaysia dibarisi empat pemain perseorangan iaitu Lee Zii Jia, Leong Jun Hao, Cheam June Wei dan Justin Hoh manakala beregu terdiri daripada Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dan Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian.

Malaysia diundi dalam Kumpulan D, akan membuka tirai saingan menentang Hong Kong pada 27 April ini sebelum berdepan Algeria keesokan harinya dan bertemu Denmark pada 30 April untuk aksi terakhir peringkat kumpulan.

Terdahulu, pada majlis MoU tersebut menyaksikan KBS mengorak langkah ke hadapan melaksana program rintis menerusi kerjasama lima rakan strategik bagi memperkasa belia serta melonjakkan kebolehpasaran pelajar TVET dan Ekonomi Gig.

Hannah berkata peringkat permulaan, KBS akan memfokuskan lapan bidang kemahiran iaitu Teknologi Sukan, Fesyen dan Pakaian Automotif, Hospitaliti, Automotif, Fotografi dan Teknologi Maklumat, Kosmetologi serta elektrikal dan mekanikal.

Usaha rintis tersebut dijangka memberi manfaat kepada 2,000 pelajar dan 3,000 belia di seluruh negara. – BERNAMA

Wakili negara kesempatan dinanti June Wei

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki, Cheam June Wei menyifatkan aksi di Piala Thomas menjadi peluang buat dirinya untuk mengukuhkan kerjaya sebagai pemain profesional.

June Wei yang akan membuat penampilan kedua dalam kejohanan berpasukan itu, berkata pemain profesional sepertinya mampu menarik minat penaja jika sering beraksi dalam kejohanan utama.

“Mendapat panggilan untuk bermain dalam Piala Thomas adalah satu penghormatan untuk saya dan memberi suntikan baharu kepada pemain profesional seperti saya.

“Sebagai pemain profesional, kami berpeluang untuk menarik minat penaja apabila sering beraksi dalam kejohanan utama. Saya berterima kasih kepada BAM (Persatuan Badminton Malaysia) kerana beri peluang ini kepada saya,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan skuad negara di Akademi Badminton Malaysia (ABM), di sini, hari ini.

June Wei antara empat pemain perseorangan yang disenaraikan BAM pada saingan Piala Thomas di Chengdu, China bermula minggu ini selain Lee Zii Jia, Leong Jun Hao dan Justin Hoh.

Dia meninggalkan skuad kebangsaan pada 2021 selepas gagal mencetuskan impak sebagai pemain senior.

Bagaimanapun, sebagai perseorangan keempat terbaik negara di belakang Zii Jia yang menghuni ranking ke-10 dunia, Ng Tze Yong (18), Jun Hao (37), kehadiran June Wei yang berada di kedudukan ke-63 dilihat mampu menambah kekuatan skuad negara untuk menghadapi saingan di Chengdu.

June Wei yang menggalas tugas selaku perseorangan kedua pada edisi 2020 di Aarhus, Denmark percaya Malaysia mempunyai peluang cerah untuk melangkah jauh tahun ini.

Katanya, skuad negara dijangka tidak berdepan masalah untuk menewaskan Hong Kong pada aksi sulung Kumpulan D dan mempunyai potensi untuk melakar kejutan ke atas pasukan pilihan, Denmark.

Satu lagi pasukan dalam Kumpulan D adalah Algeria.

“Jika saya diturunkan, saya akan bermain sebagai perseorangan ketiga atau kedua. Ia bergantung kepada keputusan jurulatih sekiranya mahu merehatkan Zii Jia atau Jun Hao.

“Atas kertas, kami mampu mengatasi Hong Kong kerana semangat berpasukan kami adalah lebih baik.

“Menentang Denmark, kami juga ada peluang untuk menang. Saya tidak bermain menentang pemain perseorangan ketiga atau keempat Hong Kong (Chan Yin Chak dan Jason Gunawan) sebelum ini tetapi pemain Denmark, Anders Antonsen dan Rasmus Gemke adalah ‘batch’ yang sama dengan saya.

“Saya pernah bermain menentang mereka beberapa kali termasuk ketika peringkat remaja,” kata June Wei.

Kali terakhir Malaysia muncul juara Piala Thomas adalah pada edisi 1992 di Kuala Lumpur.-Berita Harian

Sze Fei-Izzuddin impi sumbang mata di Piala Thomas

Kuala Lumpur: Kejayaan muncul naib juara pada Kejohanan Badminton Asia (BAC) dua minggu lalu menyuntik semangat pemain beregu lelaki negara, Goh Sze Fei menjelang saingan Piala Thomas di Chengdu, China bermula 27 April hingga 5 Mei ini.

Sze Fei yang bergandingan dengan Nur Izzuddin Rumsani berkata, status naib juara BAC itu meningkatkan keyakinan untuk menyumbangkan mata buat negara apabila berdepan Hong Kong pada 27 April ini.

Sze Fei-Izzuddin diletakkan harapan untuk mengutip mata berdepan Hong Kong dan mereka yang menghuni ranking ke-15 dunia itu kini dijangka akan turun sebagai gandingan kedua skuad negara.

“Saya teruja dan bermotivasi untuk turun bermain di Piala Thomas kali ini. Gelaran naib juara BAC menjadi pembakar semangat saya.

“Saya harap dapat membantu pasukan menyumbangkan mata dan saya perlu lebih bertanggungjawab bukan untuk diri sendiri tapi kepada pasukan,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.

Pemain berusia 27 tahun itu mengakui, dia kini berada dalam keadaan terbaik terutama dari segi komunikasi selepas lebih seminggu bersama-sama menjalani kem latihan di ABM.

Malaysia berdepan aksi ‘hidup mati’ apabila perlu mencatat kemenangan ke atas Hong Kong dalam aksi sulung Kumpulan D bagi mencerahkan laluan ke pusingan kalah mati.

Malaysia seterusnya akan berdepan Algeria sehari selepas itu sebelum berdepan Denmark dua hari kemudian.-Harian Metro

Majlis Sukan Negara Malaysia