MALAYSIA TAMAT CABARAN AYPG DUBAI 2017 DI KEDUDUKAN KE 15 KESELURUHAN

Dihantar pada : 15 Dis 2017 | Berita

KUALA LUMPUR, 15 Disember 2017 – Sukan Remaja Para Asia ke 3, Dubai 2017 yang melabuhkan tirai semalam menyaksikan kontinjen Malaysia menamatkan saingan dikedudukan ke 15 keseluruhan dengan mengumpul 5 pingat emas, 1 perak dan 2 gangsa.

Pada edisi ke 3 kali ini, Malaysia yang diwakili 12 atlet menyertai 5 daripada 7 sukan yang dipertandingkan telah meraih pingat emas menerusi sukan olahraga, ping pong dan powerlifting.

Eddy Bernard cemerlang hadiahkan 2 pingat emas dalam acara 100 meter T38 dan lompat jauh T35/38, manakala Muhammad Zulhaizat sumbang 2 pingat gangsa dalam acara 200 meter dan 400 meter T13.

Ping Pong turut cemerlang sumbang 2 emas menerusi acara berpasukan kategori TT9/10 menerusi  Chee Chaoming dan Ahmad Syahir, manakala Chee Chaoming pula meraih emas dalam acara perseorangan kategori TT9.

Ahmad Syahir pula muncul penyumbang tunggal pingat perak dalam acara ping pong TT10.

Wan Nur Azri catat nama selaku penyumbang emas kelima Malaysia selepas menguasai acara powerlifting kategori 97 kilogram dengan angkatan keseluruhan 152 kilogram.

Temasya 4 tahun sekali ini bermula pada 8 Disember lalu melibatkan hampir 800 atlet daripada 30 buah negara.

Pada 2013, Malaysia selaku tuan rumah edisi ke 2 temasya meraih 19 pingat emas, 22 perak dan 18 gangsa menamatkan aksi di kedudukan ke 4 keseluruhan.