Last updated on Ogos 19th, 2021
ATLET PARA MAMPU MENYINAR DI TOKYO
KUALA LUMPUR, 12 OGOS – Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal melaung keyakinan Kontinjen Malaysia mampu menyinar di Tokyo dengan kekuatan atlet yang akan menggalas cabaran ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020 kali ini.
YB Senator Wan Ahmad Fayhsal berkata selain sandaran kepada pemenang 3 pingat emas di Rio pada 2016, harapan juga turut diletakkan kepada atlet badminton Cheah Liek Hou, atlet memanah S.Suresh dan atlet powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin.
“Mereka berada di kedudukan terbaik untuk menyumbang pingat kepada negara”, katanya pada sidang media selepas Majlis Pengukuhan Semangat Kontinjen Para Malaysia ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020 secara dalam talian hari ini.
Turut hadir pada sesi berkenaan Datuk M Noor Azman Taib, Ketua Setiausaha KBS, Dato’ Sri Megat D Shahriman Zaharuddin, Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) yang juga merupakan Chef de Mission Paralimpik Tokyo 2020.
Cabaran Kontinjen Malaysia akan digalas oleh 22 atlet yang akan menyertai dalam 9 jenis sukan dan 32 acara keseluruhan yang akan berlangsung pada 24 Ogos hingga 5 September 2021.
Pada Sukan Paralimpik Rio 2016, Malaysia berjaya membawa pulang 3 pingat emas dan satu pingat gangsa.
