ATLET NEGARA SAMBUT RAYA SECARA SEDERHANA
KUALA LUMPUR, 13 MEI – Atlet negara yang menjalani latihan di Majlis Sukan Negara Bukit Jalil menyambut Syawal secara sederhana hari ini.
Ketua Pengarah MSN, Dato’ Ahmad Shapawi Ismail turut meluangkan masa bersama-sama menunaikan solat sunat Hari Aidilfitri dan meraikan sambutan hari raya di Cafe Atlet.
Atlet negara yang dalam persiapan untuk bertanding dalam Sukan Olimpik Tokyo dan Sukan SEA Hanoi kini kembali menyertai latihan secara kuarantin di kemudahan MSN di Bukit Jalil dan beberapa lagi tempat termasuk Akademi Badminton Malaysia (ABM) setelah kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.
