AGONG MENYERU SELURUH RAKYAT MENDOAKAN KEJAYAAN KONTINJEN MALAYSIA KE TOKYO

KUALA LUMPUR, 6 JULAI – Menjelang Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Kontinjen Malaysia menerima suntikan semangat menerusi pengurniaan Jalur Gemilang oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
 
Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima mengadap Menteri Belia dan Sukan YB. Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican di Istana Negara, hari ini.
 
Seri Paduka Baginda menzahirkan ucapan tahniah kepada semua atlet negara atas kegigihan dan kecekalan serta kejayaan mereka melayakkan diri untuk bersaing di temasya Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
 
Seri Paduka turut menzahirkan harapan agar atlet-atlet Negara dapat mempamerkan prestasi terbaik mereka bagi menjulang nama Malaysia di persada tertinggi dunia.
 
Selain itu, Seri Paduka juga menzahirkan harapan agar para atlet dan pegawai sentiasa berwaspada dalam menjaga kesihatan diri ketika berada di kedua–dua temasya tersebut.
 
Seri Paduka menyeru seluruh rakyat untuk bersama Baginda mendoakan semoga atlet-atlet Negara mencapai sasaran yang telah ditetapkan di temasya Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
 
Turut hadir, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharuddin.
 
Pada majlis sama, Seri Paduka turut berkenan menerima sembah taklimat mengenai persediaan dan penyertaan Kontinjen Negara di kedua-dua temasya tersebut.
Skip to content
This Website is committed to ensuring digital accessibility for people with disabilitiesWe are continually improving the user experience for everyone, and applying the relevant accessibility standards.
Conformance status