Menteri Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dr. Mohammed Taufiq Johari, hari ini mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia Bilangan 15 di Menara Kementerian Belia dan Sukan, Putrajaya bagi meneliti perkembangan terkini persiapan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) XXII dan PARA SUKMA Selangor 2026.
Mesyuarat yang dihadiri Yang Berhormat Exco-Exco serta perwakilan negeri-negeri telah membentangkan laporan Jawatankuasa Khas Teknikal serta status persiapan tuan rumah Selangor menjelang penganjuran temasya yang dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos 2026. Turut dibentangkan ialah laporan persediaan awal penganjuran SUKMA XXIII Kelantan 2028.
Mesyuarat juga meluluskan beberapa ketetapan teknikal, termasuk pengguguran acara 25 Meter Rapid Fire Pistol Berpasukan Lelaki berikutan penyertaan yang tidak memenuhi syarat minimum, sekali gus menjadikan 468 acara dipertandingkan pada SUKMA XXII Selangor 2026.

