Kuala Lumpur: Skuad hoki lelaki negara memulakan kempen Piala Negara-Negara FIH 2025-26 dengan langkah kanan apabila menewaskan Scotland 5-2 dalam aksi pembukaan Kumpulan A di Afrika Selatan, sebentar tadi.
Skuad kendalian Brendon Carolan tidak menunggu lama untuk membuka jaringan apabila Mohamad Akhimullah Anuar Esook meledak gol padang seawal minit kelima bagi meletakkan Malaysia di depan.
Selepas aksi seimbang pada suku kedua, Malaysia menggandakan kelebihan menerusi pukulan penalti stroke yang disempurnakan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal pada minit ke-34.
Bagaimanapun, Scotland yang menghuni ranking ke-17 dunia berjaya merapatkan kedudukan lima minit kemudian menerusi penalti stroke Jamie Golden.
Malaysia kembali melebarkan jurang apabila Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi menjaringkan gol padang pada minit ke-42 sebelum Azrai sekali lagi menemui sasaran menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-49 untuk menjadikan kedudukan 4-1.
Scotland cuba menghidupkan peluang apabila Andrew McConnell menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-57, namun Azrai melengkapkan hatrik peribadi dua minit kemudian menerusi satu lagi gol padang bagi memastikan kemenangan bergaya 5-2 buat Speedy Tigers.
Kemenangan itu meneruskan rekod cemerlang Malaysia ke atas Scotland apabila tidak pernah tewas dalam empat pertemuan sejak kali pertama kedua-dua pasukan bertemu pada Kelayakan Piala Dunia 2009.
Ketika itu, Malaysia menewaskan Scotland 3-2 dan sejak itu terus mengekalkan rekod tanpa kalah ke atas pasukan berkenaan.
Tumpuan kini terarah kepada aksi kedua menentang Jepun yang dijadual berlangsung jam 10.45 malam waktu Malaysia esok.
