Kuala Lumpur: Legenda renang negara, Nurul Huda Abdullah, diberi mandat mengemudi kontinjen Malaysia selaku Ketua Kontinjen (CDM) ke temasya Sukan Sea ke-33 yang bakal berlangsung dari 9 hingga 20 Disember depan di Bangkok, Chonburi dan Songkhla, Thailand.
Pelantikan Nurul Huda yang juga Naib Presiden baharu Majlis Olimpik Malaysia (MOM) diumumkan secara rasmi hari ini, sekali gus menyaksikan beliau bakal dibantu tiga Timbalan Ketua Kontinjen, Datuk Kenny Goh Chee Keong, Nazmizan Mohamad dan Jivan Mohan.
Pemilihan barisan kepimpinan kontinjen negara kali ini dilakukan secara bersama antara MOM, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) bagi memastikan pengalaman dan kredibiliti individu terpilih mampu melonjak prestasi kontinjen negara di Thailand nanti.
Beliau mewakili Malaysia di Sukan Olimpik XXIV Seoul 1988 dan masih memegang rekod sebagai atlet Malaysia dengan kutipan pingat terbanyak dalam sejarah Sukan Sea dengan jumlah 32 pingat, terdiri daripada 22 emas, 8 perak dan 2 gangsa dalam tiga edisi berturut-turut iaitu 1985, 1987 dan 1989.
Beliau juga kekal sebagai satu-satunya perenang wanita Malaysia yang pernah memenangi pingat di Sukan Asia, dua pingat perak dan dua gangsa di Sukan Asia ke-10 Seoul 1986 malah turut pernah dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan selama lima tahun berturut-turut dan diiktiraf menerusi Trofi IOC bertemakan “Wanita dalam Sukan” pada 1987.
Kini, beliau terus aktif dalam pembangunan sukan tanah air menerusi jawatan Penolong Setiausaha Kehormat Akuatik Malaysia sejak 2023, selain pernah menjawat jawatan Timbalan CDM ke Sukan Sea Filipina 2019 dan mengetuai Jawatankuasa Sukan Selamat KBS sejak tahun lalu.
Sementara itu, Kenny yang kini Setiausaha Agung BAM dan Badminton Asia, serta Ahli Majlis Persekutuan Badminton Dunia (BWF), berpengalaman luas dalam pentadbiran sukan sejak era 2000-an dan pernah menyandang jawatan Pengurus Besar BAM pada 2006.
Turut disenaraikan, Nazmizan, bekas raja pecut negara yang pernah mencipta gemilang dengan meraih emas acara 100m dan 200m di Sukan Sea 2003 serta layak ke Olimpik Athens 2004, kini berkhidmat di Kementerian Pendidikan Tinggi.
Manakala Jivan, bekas pemain hoki negara, pernah menggalas cabaran Malaysia di Sukan Komanwel, Sukan Asia, Piala Sultan Azlan Shah serta Sukan Sea termasuk membantu skuad negara meraih emas di Myanmar 2013 dan Singapura 2015.
MOM yakin kombinasi hebat antara pengalaman selaku bekas atlet dan kemahiran dalam pentadbiran akan menjadi pencetus semangat buat kontinjen Malaysia untuk membawa pulang kejayaan bermakna dari bumi Thailand, hujung tahun ini.