Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil inisiatif memperkenalkan Team MAS bertujuan memberi semangat kepada setiap atlet yang akan bertanding membawa nama Malaysia di pentas dunia selain simbolik menjelang 50 hari sebelum Sukan Olimpik Paris 2024 membuka tirai bulan depan.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, dengan tema ‘Kita Semua TEAM MAS’ itu, KBS berharap atlet yang akan bertanding di Paris mampu menghadiahkan pingat buat Malaysia terutama menjelmakan emas setelah sekian lama menanti.
“Persiapan atlet semuanya sudah terurus. Mulai sekarang kita sudah memasuki kiraan detik 50 hari, kita harap atlet akan terus mempunyai semangat yang kuat untuk menghadapi lawan mereka di Paris nanti.
“Kita Semua Team MAS’ bukan hanya mengenai Sukan Olimpik sahaja. Setiap kali atlet keluar negara mewakili Malaysia, mereka membawa sekali Team MAS ini. Saya juga ada berjumpa, menulis surat kepada pihak korporat untuk bersama kita.
“Saya percaya, pelaburan korporat untuk membangunkan sukan negara akan mendatangkan banyak nilai yang bukan sahaja dari nilai wang ringgit tetapi untuk bangunkan generasi masa depan.
“Saya tahu, sukan adalah penggerak penyatuan perpaduan di Malaysia dan ini satu panggilan untuk kita semua bersama,” katanya selepas Majlis Pelancaran Team MAS bersempena Sukan Olimpik Paris 2024.
Pada masa sama, Hannah memaklumkan setakat ini seramai 33 atlet sudah melayakkan diri ke Paris 2024 yang membabitkan 18 atlet ke Sukan Olimpik bermula hujung Julai manakala 15 lagi ke Paralimpik yang dijadual berlangsung dari 28 Ogos hingga 8 September ini.-Harian Metro