“VELODROM BERTARAF DUNIA” – AZIZULHASNI

Dihantar pada : 21 Apr 2017 | Pelbagai

Kuala Lumpur, 21 April 2017 – “Kita mempunyai salah satu velodrom terbaik dunia”.

Itu pujian jaguh keirin dunia, Mohd Azizulhasni Awang mengenai Velodrom Nilai selepas diberi penghormatan menguji trek sepanjang 250 meter itu buat julung kalinya bersama pelumba daripada Program Kita Juara Sukan Sea dan Sukan Para Asean 2017.

Biarpun masih belum sedia sepenuhnya, Azizul jelas terujadan kagum dengan velodrom yang menelan belanja hampir RM80 juta ini.

“Memang sangat lancar. Walaupun masih belum siap, tetapi saya rasa trek ini bagus dan pantas seperti Velodrom di Hong Kong. Selekoh juga baik dan saya cuba bermain di selekoh untuk menguji momentum”.

Velodrom yang dibina pada 2015 ini mampu menempatkan kira-kira 1800 penonton dan dijangka siap sepenuhnya hujung bulan ini.

Azizulhasni yang menjadi atlet berbasikal pertama menguji trek yang kini 96 peratus siap ini, menyifatkan satu penghargaan buat dirinya diberi penghormatan itu.

“Bukan sahaja diberi penghormatan menguji trek ini, di garisan penamat juga mempunyai tandatangan saya. Ia kenangan terindah apabila saya bersara nanti”.

Dalam pada itu, Azizul mengharapkan dengan adanya velodrom bertaraf dunia ini, Malaysia akan terus melahirkan jaguh berbasikal yang digeruni di pentas antarabangsa.

“Saya berharap kita dapat mencungkil lebih ramai bakat baru dan program pembangunan di peringkat akar umbi. Di Malaysia kita ada ramai yang berbakat. Saya yang bersaiz kecil pun boleh muncul juara dunia. Saya percaya ramai di luar sana ingin menjadi pelumba basikal bertaraf dunia.

“Sekarang kita sudah ada fasiliti bertaraf dunia, jadi bagaimana kita mahu memaksimumkan kegunaannya supaya tidak menjadi fasiliti gajah putih.”