SEMBUNYI KEKUATAN DI PRA-SUKAN SEA

Dihantar pada : 12 Jul 2017 | Pelbagai

KUALA LUMPUR, 12 Julai 2017 – Kejohanan Luncur Air Pra-Sukan SEA di Putrajaya hujung bulan ini bukanlah kayu pengukur sebenar prospek pingat semua negara peserta di Sukan SEA di saat kontinjen negara menyandarkan harapan mengutip dua emas daripada disiplin ini.

Jurulatih luncur air negara, Hanifah Yoong, percaya negara yang menyertai pra-Sukan SEA di Kompleks Sukan Air Tasik Putrajaya akan menyembunyikan kekuatan sebenar menjelang temasya Sukan SEA Ogos nanti.

“Thailand, Singapura dan Filipina antara negara yang telah menyatakan persetujuan untuk menyertai pra-Sukan SEA tetapi saya percaya mereka tidak akan menunjukkan kemampuan sebenar pada 29 hingga 30 Julai nanti.

“Jadi kami anggap keputusan yang diraih tidak boleh dijadikan kayu pengukur untuk menentukan pingat pada temasya Sukan SEA ke-29 nanti,” katanya pada sidang media Kita Juara di Majlis Sukan Negara, tengah hari tadi.

Sidang media tersebut turut dihadiri pengurus pasukan,  Ahmad Aizuddin Arshad dan dua atlet, Aaliyah Yoong Hanifah dan Cheah Hsu Ann.

Ahmad Aizuddin turut menjelaskan persiapan pasukan kini berada di tahap terbaik dan kini hanya menunggu masa untuk beraksi memastikan dua pingat emas menjadi milik Malaysia.

“Atlet kini berada dalam keadaan terbaik, kecergasan dan latihan serta prestasi dimiliki Aaliyah yang diharapkan akan menyumbang pingat emas buat negara dalam acara kegemarannya, tricks individu.

“Begitu juga dalam acara individu wanita bagi acara WakeBoard perseorangan, amanah memastikan pungutan pingat digalas Hsu Ann, berdasarkan prestasi semasa dipamerkannya,” katanya.

Aaliyah pula melihat harapan yang diletakkannya bukanlah satu tugas mudah dan berusaha untuk merealisasikan impian tersebut di laman sendiri.

“Berdasarkan prestasi semasa saya percaya saya tidak akan berdepan masalah, namun saya perlu waspada dengan saingan atlet negara lain.

“Saya perlu bijak atasi tekanan dan mengikut segala tunjuk ajar jurulatih,” ujarnya yang merangkul pingat emas dalam acara tricks wanita di Singapura  dua tahun lalu.

Pada temasya dua tahun lalu, Aaliyah yang merupakan adik kepada bekas pelumba Formula Satu Alex Yoong, mengumpul 4,850 mata, jauh meninggalkan pemenang perak Nur Alimah Prambodo dari Indonesia yang mengutip 2,930 mata, manakala wakil tuan rumah , Sabelle Kee dengan 2,620 mata meraih gangsa.

Malaysia diwakili lima atlet lelaki dan tiga atlet wanita.

Skuad:

Lelaki: Rody Sofian Buang (wakeboard individu dan berpasukan), Adam Yoong Hanifah (tricks), Aiden Yoong Hanifah (tricks dan keseluruhan), Muhammad Syahir Asyraf Md Nasir (slalom, lompatan dan keseluruhan), Jeff Oh Jun Xian (wakeboard individu dan berpasukan), Muhamad Haziq Zohari (slalom).

Wanita: Cheah Hsu Ann (wakeboard individu dan berpasukan), Nur Nadiah Hanani Md Nasir (slalom), Aaliyah Yoong Hanifah (slalom, lompatan, tricks, keseluruhan)

Pengurus: Ahmad Azuddin Arshad

Penolong pengurus: Norfadhilah Junkipli

Ketua jurulatih: Hanifah Yoong Yin Fah

Jurulatih: Larry Luis Gisler

Penolong jurulatih: Dmitrii Sukhotin