PERKEMBANGAN TERKINI KL2017 DI HUJUNG JARI

Dihantar pada : 13 Jul 2017 | Pelbagai

KUALA LUMPUR, 13 Julai 2017 – Digital@KL2017 bakal menjadi medium untuk orang ramai mengikuti perkembangan terkini Sukan Sea dan Sukan Para Asean yang akan berlangsung Ogos dan September depan.

Platform digital ini melibatkan aplikasi telefon pintar (untuk iOS dan android), saluran rasmi YouTube KL2017, Facebook, Instagram dan Twitter.

“Orang ramai boleh menonton perlawanan secara langsung dan juga mengetahui maklumat seperti jadual perlawanan, keputusan dan sebagainya. MASOC akan berusaha memberikan pengalaman terbaik kepada semua peminat sukan tanahair,” jelas Menteri Belia dan Sukan, YB Brig. Jen Khairy Jamalauddin pada majlis perasmian di Gimnasium 2, Majlis Sukan Negara Bukit Jalil pagi tadi.

Pada majlis yang sama, Khairy turut melancarkan iklan rasmi KL2017 dengan mesej “It takes a nation to raise a chamipon (bersama kita lahrkan juara).

“Iklan rasmi KL2017 ini membawa mesej semangat kesukanan, perpaduan, kebersamaan dan perjuangan yang tinggi. Ia juga memaparkan sebuah perjalanan yang menuntut pengorbanan dan sokongan daripada banyak pihak demi melahirkan seorang juara”.

Persiapan KL2017 kini memasuki fasa terakhir dengan berbaki 36 hari sebelum Sukan Sea membuka tirai pada 19 hingga 30 Ogos 2017 manakala Sukan Para Asean akan berlangsung pada 17 hingga 23 September 2017.