NATASHA, JOSHUA TEKAD BURU EMAS

Dihantar pada : 17 Mei 2017 | Pelbagai

KUALA LUMPUR, 17 Mei 2017 – Atlet lawan pedang, Natasha Ezzra Abu Bakar, memburu dua detik penting dalam merealisasikan impian peribadi dan demi pertiwi.

Detik pertama, dia mahu membawa cabaran negara dalam saingan Sukan SEA ke-29 di Kuala Lumpur Ogos nanti dengan mensasarkan pingat emas selepas kecewa di saingan suku akhir di Singapura tahun lalu.

Tuah kedua yang diharap pastinya menggenggam segulung ijazah dalam bidang pendidikan jasmani di Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang.

Namun baginya semua ini bukanlah semudah yang diharapkan.

Di gelanggang, saingan sengit pasti dijelmakan dari atlet Thailand dan juga Vietnam.

Di luar gelanggang pula, Natasha berharap mengembalikan kecergasan selepas terbabit dalam kemalangan tidak jauh dari UPM bulan lalu.

“Tahun ini saya mengharapkan tuah berganda, mengutip pingat emas bagi acara individu foil wanita buat negara dalam Sukan SEA 2017 dan juga menamatkan pengajian dengan segulung ijazah di UPM.

“Menjadi impian saya serta keluarga agar ia menjadi kenyataan dan kini saya gigih mempersiapkan diri bagi memastikan dua impian ini tercapai,” jelas atlet kelahiran Johor ini.

Anak ketiga dari enam adik beradik ini sememangnya menyedari tekanan bakal dihadapi.

“Saya terlepas peluang untuk bertanding di Shanghai selepas terbabit dalam kemalangan. Sebab itu latihan di Korea Selatan dan seterusnya Kejohanan Asia di Hong Kong penting untuk saya mengembalikan kecergasan dan keyakinan.

“Sebelum ini saya terkandas di peringkat suku akhir di Singapura 2015 gara-gara tekanan yang dihadapi ketika beraksi.

“Namun kali ini di Kuala Lumpur tekanan tetap ada tetapi ia berlainan kerana ditambah dengan sokongan padu peminat tempatan serta keluarga.

“Banyak pengalaman telah dilalui khususnya dalam mengawal tekanan dan kini saya bersedia untuk aksi di laman sendiri, ” ujarnya yang merupakan Guru gantian di Sekolah Asrama penuh di Cyberjaya.

Natasha yang meminati atlet lawan pedang Itali, Arianna Errigo, memperolehi pingat gangsa pada temasya di Palembang 2011 namun kecewa tanpa sebarang pingat dua tahun lalu.

Selain gangsa di Palembang, gadis berdarah kacukan Cina dan Arab ini menduduki tangga kelima Kejohanan Lawan Pedang Asia 2014 dan 40 keseluruhan bagi acara Foil di Kejohanan Dunia di Budapest Hungary pada 2013.

 Sementara itu, rakan sepasukannya yang beraksi dalam acara epee lelaki, Joshua Koh I Jie yakin mampu menghadirkan pingat emas buat negara selepas kali terakhir menyumbang emas pada 2011.

“Kali ini saya bersedia sepenuhnya dengan matlamat memastikan emas mampu diraih selepas 6 tahun, inilah masa terbaik buat saya dan negara.

“Kecundang di temasya Singapura di tangan atlet Thailand tidak mematahkan semangat juang kerana saya akan bangkit dilaman sendiri.

“Beberapa kelemahan telah diperbaiki secara berperingkat dengan kejohanan-kejohanan yang disertai sebelum ini.

“Sokongan padu semua peminat ditagih untuk memastikan emas diraih kembali,” jelasnya yang baru pulang dari Kejohanan Piala Dunia Epee di Paris.