MSN-UNISEL-MAJLIS SUKAN NEGERI SELANGOR JALIN KERJASAMA “ONE STATE ONE UNIVERSITY ONE CENTRE”

Dihantar pada : 18 Apr 2017 | Pelbagai

Kuala Lumpur, 18 April 2017 – Universiti Selangor (UNISEL) muncul universiti pertama yang menjalin kerjasama bersama Majlis Sukan Negara dan Majlis Sukan Negeri Selangor dalam menjayakan program “One State One University One Centre”.

Program ini merupakan salah satu daripada 3 teras utama yang terdapat dalam program Malaysian Athlete Career and Education (MACE) iaitu pendidikan, kerjaya dan kebajikan.

MACE adalah platform untuk atlet-atlet negara merancang masa depan dan seterusnya mempunyai masa terjamin khususnya selepas era sebagai atlet berakhir.

Menerusi program “One State One University One Centre” ini, UNISEL akan berfungsi sebagai pusat latihan negeri khususnya kepada atlet-atlet pelapis dan juga atlet negeri.

Atlet-atlet ini berpeluang untuk melanjutkan pelajaran dan dalam masa yang sama meneruskan latihan berpusat di bawah seliaan program MSN dan Majlis Sukan Negeri Selangor.

Majlis menandatangai memorandum perjanjian persefahaman antara MSN-UNISEL-Majlis Sukan Negeri Selangor berlangsung di Casa 1, MSN Bukit Jalil.

MSN diwakili Ketua Pengarah, Dato’ Ahmad Shapawi Ismail, UNISEL diwakili Presiden dan Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, manakala Majlis Sukan Negeri Selangor diwakili Pengarah Eksekutif, Mohd Zubir Idrus.