KJ AJAK ORANG RAMAI CIPTA LIRIK KL2017

Dihantar pada : 09 Mei 2017 | Pelbagai

KUALA LUMPUR, 9 Mei 2017 – Berbaki 100 hari menjelang Sukan Sea ke 29 dan Sukan Para Asean ke 9, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengajak orang ramai turut serta dalam gubahan lirik lagu tema KL2017 yang akan dinyanyikan penyanyi terkenal negara, Dayang Nurfaizah.

Orang ramai dijemput menyumbang idea mereka melalui Instagram, Facebook atau Twitter dengan #LaguKL2017 dimana lagu tema ini akan diterajui komposer ternama, Datuk Ramli MS.

“Dalam kita sibuk mempersiapkan atlet, venue dan sebagainya, kita terlupa lagu untuk temasya ini. Di saat akhir ini, saya minta orang ramai untuk sama-sama hantar cadangan untuk lirik. Tidak kiralah apa bentuk idea yang anda ada, mungkin dengan memberikan satu patah perkataan atau menulis 140 perkataan dalam Twitter, semuanya kami hargai dan akan kami pertimbangkan.

“Apa yang penting hasrat kami mahukan lagu yang akan terhasil nanti dan dimuat turun di platform seperti Spotify, Deezer dan iTunes secara percuma menjadi milik rakyat Malaysia, sebagaimana KL2017 ini adalah sukan untuk mereka” kata Khairy pada majlis pelancaran Detik 100 Hari Sukan SEA ke-29 dan Para ASEAN ke-9 di KL Sentral, hari ini.

Dalam pada itu, Khairy menjelaskan persiapan KL2017 berada di tahap terbaik dan berjalan lancar ketika ini dan YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak amat berpuas hati dengan persiapan negara menjadi tuan rumah temasya dwitahunan ini selepas melakukan tinjauan KL Sports City pada Isnin.

“Dari segi persiapan venue penganjuran, saya percaya dan yakin dalam tempoh masa 100 hari ini kita akan dapat memantapkan lagi untuk memastikan ini adalah penganjuran terbaik dalam sejarah Sukan Sea.

“Dari segi persiapan atlet, saya yakin kita akan dapat capai objektif untuk muncul juara keseluruhan”.

Pada majlis yang sama, Khairy turut memperkenalkan dua penaja baru iaitu Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) dan Prasarana Malaysia Berhad.

Selain daripada itu, Penaja Perak KL2017, 100Plus turut hadir memperkenalkan minuman isotonik tanpa gas, 100Plus Active yang dikeluarkan khas sempena penganjuran temaysa Sukan Sea ke 29.