JAGUH RIO DOMINASI PENCALONAN ANUGERAH SUKAN NEGARA 2016

Dihantar pada : 18 Apr 2017 | Pelbagai

KUALA LUMPUR, 18 April 2016 – Juara keirin dunia, Mohd Azizulhasni Awang dan juga pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei antara yang tersenarai untuk merebut gelaran Olahragawan Kebangsaan pada Majlis Anugerah Sukan Negara 2016 yang akan berlangsung 26 April 2017.

Selain Azizul dan Chong Wei, turut memberi tentangan sengit dalam kategori tersebut termasuklah juara Kejuaraan Silat Dunia di Bali yang juga Olahragawan Kebangsaan 2015, Mohd. Al-Jufferi Jamari dan raja boling negara, Muhammad Rafiq Ismail.

Dalam kategori Olahragawati Kebangsaan pula, ratu terjun negara, Pandelela Rinong mengetuai senarai akhir pencalonan dan dijangka diberi tentangan sengit oleh juara silat dunia, Siti Rahmah Mohamed Nasir, Siti Zalina Ahmad (boling padang), Sin Li Jane (boling) dan Tan Li Lian (bina badan).

Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk Lokman Hakim Ali berkata dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2016, sebanyak 70 pencalonan telah diterima daripada persatuan sukan kebangsaan, Majlis Sukan Negeri, Majlis Olimpik Malaysia dan Majlis Paralimpik Malaysia.

“Pemilihan kali ini melihat pencapaian semua calon atlet yang konsisten dan menunjukkan peningkatan. Menariknya kali ini ialah pencalonan mereka merangkumi dua temasya terbesar dunia, Olimpik dan Paralimpik Rio”.

Beregu badminton, Tan Wee Kiong – Goh V Shem bakal merebut Anugerah Pasukan Lelaki Kebangsaan bersama kuartet 4×100 meter SUKMA Melaka di SUKMA Sarawak 2016, dan pasukan boling padang lelaki kebangsaan.

Calon bagi Anugerah Pasukan Wanita Kebangsaan pula adalah kuartet 4×100 meter kebangsaan, pasukan boling padang wanita, pasukan skuasy wanita, pasukan bola jaring dan pasangan terjun Pandelela-Cheong Jun Hoong.

Pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016, Muhammad Ziyad Zolkefli, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan Abdul Latif Romly menguasai pencalonan kategori Olahragawan Paralimpik Kebangsaan, manakala Siti Nor Radiah Ismail dan Siti Noor Iasah Mohd Ariffin pula dicalonkan untuk Anugerah Olahragawati Paralimpik Kebangsaan 2016.

Majlis gilang gemilang itu akan diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dan akan disiarkan secara langsung di RTM 1 bermula jam 9.00 malam.