GK2 KEDAH UNGGULI 6 KATEGORI UTAMA JCM NEGERI SEMBILAN

Dihantar pada : 20 Mac 2017 | Pelbagai

KUALA LUMPUR, 20 MAC 2017 – Biarpun terpaksa berkongsi basikal, namun ia tidak mematahkan semangat juang pelumba Lang Merah di bawah bimbingan Noor Alfizar Othman untuk mengungguli 6 kategori utama pada edisi sulung Junior Cycling Malaysia 2017.

Peringkat pertama membuka tirai pada 18 dan 19 Mac 2017  berlangsung di d’Tempat Country Club Sri Sendayan, Negeri Sembilan.

Hari pertama acara kriterium berlangsung, 4 emas berjaya diraih pasukan dari utara dengan Nurul Najiha Najma yang menguasai kategori perempuan bawah 13 tahun.

Nurul Izzah Izzati Mohd Asri menyumbang emas kedua menerusi kategori remaja wanita bawah 15 tahun, diikuti Mohd Ibni Hisham Abd Raof (lelaki bawah 17 tahun (B) ) dan Siti Nur Adibah Akma Mohd Fuad menyumbang emas dalam kategori Remaja Bawah 19 tahun.

Nurul Izzah Izzati dan Siti Nur Adibah Akma sekali lagi cemerlang menghadiahkan emas buat pasukan Kedah apabila masing-masing mendominasi acara lepas beramai-ramai perempuan bawah 15 tahun dan bawah 19 tahun.

Bagi Noor Alfizar, beliau bersyukur dengan kejayaan yang diraih anak didiknya dan berterima kasih kepada Pengarah Majlis Sukan Negeri Kedah yang memberi kepercayaan kepada pelumba untuk beraksi dalam acara lebuhraya ini.

“Sasaran kita di JCM ini adalah untuk menguasai kategori umur yang dipertandingkan sebelum memberi fokus pada acara yang akan dipertandingkan di Sukan Malaysia XIX, Perak 2018 selepas ini”.

“Ketiadaan pelumba-pelumba dari beberapa pasukan bukan kelebihan buat kami dimana Nurul Izzah Izzati dan Siti Nur Adibah masing-masing pernah menaiki podium 4 kali pada JCM 2016”.

Dalam pada itu, Nurul Najiha Najma dari turut dinobatkan pelumba paling menonjol peringkat pertama JCM 2017.

Menteri Belia dan Sukan, YB Brig.Jen Khairy Jamaluddin turut hadir memeriahkan hari kedua dengan menyaksikan acara lepas beramai-ramai berlangsung.

Peringkat kedua JCM akan berlangsung pada 6 Mei 2017 di Permatang Pauh , Pulau Pinang.