CHINLONE YAKIN BUKA TIRAI DENGAN EMAS

Dihantar pada : 15 Jun 2017 | Pelbagai

KUALA LUMPUR, 14 Jun 2017 – Penghormatan mengutip pingat emas pertama untuk kontinjen tuan rumah dijangka jatuh kepada skuad chinlone kebangsaan di Sukan SEA ke-29 Ogos nanti.

Dijadual beraksi pada 16 Ogos, tiga hari menjelang upacara pembukaan, skuad bimbingan Yusof Abdullah disandarkan harapan untuk menjadi pencetus inspirasi seluruh kontinjen negara dalam acara tradisi dari Myanmar.

Chinlone – sepak raga yang dimainkan dengan kombinasi seni tarian dan gimnastik oleh enam pemain setiap pasukan dengan jumlah timbangan bola paling banyak diisytihar pemenang – memperuntukkan empat emas.

Jurulatih chinlone negara, Yusof Abdullah, berkata beliau menjangka acara ketiga dalam kategori itu berpeluang cerah menyumbang emas.

“Kami akan menyertai empat acara yang dipertandingkan dalam sukan chinlone ini, pada temasya dua tahun lalu, pasukan mendapat pingat perak dalam acara satu dan gangsa acara ketiga.

“Untuk aksi di Kuala Lumpur, kami yakin mampu mengatasi pencapaian di Singapura dengan acara ketiga bakal memberikan emas pertama buat pasukan dan negara,” kataya.

Ditanya mengenai keyakinan tinggi yang disuarakan, Yusof menjelaskan ia berdasarkan prestasi semasa dipamerkan anak didiknya dalam beberapa siri latihan dan perlawanan persahabatan di Myanmar.

“Sebenarnya pasukan baru pulang dari kejohanan di Myanmar dengan keputusan cemerlang merangkul kejuaraan bagi acara ketiga dan peningkatan pungutan mata oleh pemain.

“Kejohanan tersebut turut disertai kuasa-kuasa besar dalam sukan chinlone antaranya Thailand, Myanmar dan Filipina yang memberikan saingan sengit dalam acara yang dipertandingkan.

“Jadi kami rasakan jika semuanya berjalan dengan lancar dan mengikuti perancangan, emas mampu diraih sambil mengharapkan kejutan bagi acara pertama,” katanya pada sidang media Kita Juara di MSN Bukit Jalil, tengah hari tadi.

Turut hadir pada sidang media tersebut ialah pengurus pasukan, Wan Mohd Husni Abdullah dan atlet chinlone, Mohd Faiz Roslan serta Ab Muhaimi Che Bongsu.

Sementara itu Wan Mohd Husni berkata, kelebihan pasukan tuan rumah akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk memburu pingat emas di sebalik kekuatan Myanmar dalam acara tradisi mereka.

“Sebagai tuan rumah, Malaysia dibenarkan menyertai empat acara dipertandingkan, tetapi negara lain dihadkan kepada dua acara, jadi Myanmar akan bersaing dalam acara kedua dan keempat, maka itu peluang Malaysia dalam acara ketiga amat cerah.

“Bagi acara pertama perbezaan Malaysia dengan Thailand yang turut menyertainya adalah tidak banyak bezanya berdasarkan perlawanan yang disertai di Myanmar sebelum ini. Kami hanya dibezakan beberapa mata sahaja dengan Thailand yang menjuarai acara tersebut.

“Kami perlu menggunakan peluang yang ada selain keyakinan tinggi pemain untuk melakar kejayaan di laman sendiri,” katanya.

Pada masa sama, Wan Husni turut memaklumkan, khidmat dan kepakaran bekas jurulatih Myanmar yang membawa pasukan mengutip pingat emas dalam beberapa temasya Sukan Sea akan digunakan selewat-lewatnya, Jumaat nanti.

“Bekas jurulatih yang akan membantu pasukan kebangsaan ialah Khin Maung Win yang juga merupakan ketua pasukan Myanmar sebelum ini.

“Kehadiran Maung Win pastinya akan memberi lebih keyakinan buat pemain untuk terus menimba ilmu pengetahuan serta teknik lebih berkesan semasa latihan dan juga perlawanan berlangsung,” jelasnya yang turut memaklumkan barisan pemainnya akan terus berkampung di Myanmar menyertai kejohanan selepas sambutan Aidilfitri nanti.

Untuk rekod  Malaysia memenangi satu pingat perak (acara pertama) dan satu gangsa (acara ketiga)  dalam acara chinlone sewaktu Sukan SEA Singapura, 2015.

Malaysia yang dibarisi Mohammad Kamal Azmi, Mohamad Azlan Alias, Mohammad Arif, Mohd Nazuha Mohd Nadzi, Muhammad Zaim Razali, Amirul Zazwan Amir, Ab Muhaimi dan Mohamad Fazil Mohamad Asri mengalahkan tuan rumah, Singapura dengan kemenangan 2-0 (101-56, 107-56) pada penentuan pingat gangsa bagi acara ketiga.