ATLET NEGARA MERIAHKAN EXPO NEGARAKU

Dihantar pada : 22 Nov 2017 | Berita

KUALA LUMPUR, 22 November 2017 – Hampir 40 atlet negara memeriahkan pameran Expo Negaraku yang diadakan di Dataran Merdeka, pagi tadi.

Diketuai Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Dato’ Ahmad Shapawi Ismail, atlet negara dibawa melawat lima kubah utama memperincikan mengenai pembangunan infrastruktur terkini dan akan datang.

Kubah pertama berkonsepkan seperti sebuah teater, kubah kedua berbentuk ruang pameran bervisual yang menggunakan teknologi elektronik,  kubah ketiga juga berbentuk ruang pameran tetapi menonjolkan kejayaan program dan inisiatif dalam meringankan kos sara hidup rakyat manakala kubah keempat dan kelima berkonsepkan pusat video interaktif.

Dato’ Ahmad Shapawi ketika ditemui berkata, expo ini dapat membuka minda atlet meneroka bidang lain selain menceburi bidang sukan.

“Kita sedang aturkan setiap atlet yang berkampung di MSN dan Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik, Kampung Pandan untuk hadir ke Ekspo ini kerana mahu mereka melihat di luar kepompong mereka tentang pembangunan negara dan perjalanan pembangunan negara kita selama ini”.

Ekspo yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 15 November lalu, merupakan ekspo infrastruktur terbesar yang mempamerkan pembangunan terkini dan perancangan akan datang kerajaan dalam memberi kehidupan sempurna dan sejahtera untuk rakyat.

Ekspo yang dianjurkan oleh Unit Perancang Ekonomi (UPE), Jabatan Perdana Menteri itu dibuka secara percuma setiap hari bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam selama sebulan sehingga 15 Disember depan.