Soalan Lazim

Atlet

Adakah Majlis Sukan Negara menyediakan program khusus kepada atlet-atlet tertentu?

Majlis Sukan Negara membahagikan program persediaan atletnya kepada tiga kategori iaitu Atlet Elit, Atlet Pelapis dan Atlet Paralimpik. Ketiga-tiga kategori itu disokong oleh Cawangan Kejurulatihan yang membantu latihan atlet berkenaan.

Apakah ganjaran yang diberikan kepada atlet yang memenangi pingat emas di Temasya Olimpik, Asia dan Komanwel?

Majlis Sukan Negara menyediakan insentif untuk Sukan Olimpik RM1,000,000.00, Sukan Asia & Komanwel : RM80,000.00 dalam bentuk wang tunai.

Apakah keistimewaan yang diberikan kepada atlet negara?

Majlis Sukan Negara menawarkan kontrak setahun sepenuh masa untuk atlet negara. Ia merangkumi aspek pendidikan : IPTA / IPTS / Sek. Sukan Bkt. Jalil / Sek. Sukan Bandar Penawar, Peralatan Sukan, Elaun : RM500 – RM2500 / Bulan (Berdasarkan prestasi), Penginapan, Pemakanan, Latihan Pusat, Pendedahan Luar Negara, Jurulatih dan lain-lain kemudahan yang dianggap perlu bagi menggilap bakat atlet.

Bagaimana jika seseorang atlet itu tercedera ketika menjalani latihan di bawah program Majlis Sukan Negara (MSN)?

Atlet yang tercedera akan dirujuk kepada Institut Sukan Negara (ISN) untuk tindakan susulan.

Awam

Adakah kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh Majlis boleh digunapakai oleh orang awam?

Kemudahan-kemudahan di Majlis Sukan Negara turut disewakan kepada orang awam dengan kadar yang berpatutan. Sebarang pertanyaan sila hubungi penyelia di kompleks sukan berkenaan yang tersenarai di halaman berikut: Kemudahan Sewaan.

Adakah Majlis Sukan Negara menetapkan syarat umur untuk menjadi seorang atlet negara?

Majlis Sukan Negara tidak menetapkan syarat umur tertentu untuk menjadi seorang atlet sebaliknya berdasarkan kepada jenis sukan yang diceburi sebagai contoh seorang atlet gimnastik mungkin boleh berumur 6 tahun manakala seorang pemain snuker berumur 40 tahun

Apakah jenis-jenis sukan yang menjadi perhatian utama Majlis Sukan Negara Malaysia?

Majlis Sukan Negara (MSN) menumpukan kepada 26 jenis sukan keseluruhannya dan daripada jumlah itu, 19 dijadikan sukan teras yang diberikan keutamaan dalam penyediaan atlet negara.

Apakah peranan utama Majlis Sukan Negara Malaysia?

Peranan utama Majlis Sukan Negara (MSN) adalah membantu menyediakan atlet-atlet negara dalam sukan prestasi tinggi untuk menghadapi kejohanan antarabangsa khususnya Sukan Olimpik, Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Sukan SEA.

Bagaimana saya ingin menjadi seorang atlet negara?

Proses mengenalpasti bakat atlet dibuat melalui Program Mengenalpasti Bakat / Talent Scouting. Atlet-atlet ini disenarai pendek bagi menjalani latihan khusus di Pusat Pelapis negeri Majlis Sukan Negara. Para atlet yang telah dipilih ini perlu melepasi kelayakan-kelayakan yang ditetapkan bagi melayakkan diri untuk mengikuti program latihan seterusnya iaitu ke peringkat Pelapis Serantau mahupun Kebangsaan Majlis Sukan Negara.

Proses pemilihan atlet itu dibuat berdasarkan prestasinya di peringkat nasional seperti kejohanan-kejohanan sukan peringkat kebangsaan, Sukan Malaysia atau Temasya Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM).

Bagaimana untuk menjadi sukarelawan?

Anda boleh memuat turun borang PDF di (link) dan menghantarkannya kembali kepada pihak MSN.

Rujuk: http://www.nsc.gov.my/perkhidmatan-sukarelawan/pengenalan-khidmat-sukarelawan/

Di manakah letaknya Majlis Sukan Negara Malaysia?

Majlis Sukan Negara Malaysia
Kompleks Sukan Negara,
Bukit Jalil,
57000 Sri Petaling,
Kuala Lumpur

Mengapa 19 jenis sukan itu sahaja yang menjadi keutamaan Majlis Sukan Negara Malaysia?

Pemilihan 19 jenis sukan itu dibuat berdasarkan kepentingannya dimainkan di empat temasya yang menjadi tumpuan iaitu Sukan Olimpik, Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Sukan SEA.

Jurulatih

Apakah kelayakan yang perlu dimiliki bagi menjadi seorang jurulatih?

Pengkhususan dalam sukan spesifik dan sains sukan.