Badminton: Lebih wakil beregu isi slot Olimpik 2024 Paris lagi bagus – Boon Heong

KUALA LUMPUR: Malaysia diharap mampu mempunyai sekurang-kurangnya dua wakil bagi acara beregu lelaki dalam usaha merebut slot Sukan Olimpik 2024 Paris.
Bekas pemain beregu lelaki negara Tan Boon Heong berkata memandangkan beregu utama lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik hampir pasti merealisasikan sasaran mengisi slot itu, kehadiran beregu lelaki lain mampu mencerahkan peluang negara meraih pingat pada temasya empat tahun sekali itu.
Berdasarkan ranking kelayakan terkini “Race to Paris” dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Aaron-Wooi Yik kini berada di kedudukan kedua dengan hanya lapan terbaik akan meraih slot itu. Satu lagi pasangan lelaki negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yii pula berada di kedudukan ke-11.
“Bagi saya bukan senang nak masuk dua pasangan sebab mereka kena buru lapan terbaik. Namun jika ada ia merupakan peluang baik sebab boleh bagi cabaran. Jadi bila dapat masuk lapan terbaik, satu lagi pasangan boleh fokus untuk buru pingat Olimpik
Kebiasaannya kalau tengok Malaysia dulu hanya Datuk Lee Chong Wei sahaja yang mewakili Malaysia (perseorangan lelaki) sedangkan negara China dan Indonesia mereka ada lebih dari seorang pemain jadi susah sikit lah. Kalau boleh layak dua pasangan macam acara perseorangan lagi bagus,” katanya selepas ditemui pada Kejohanan Badminton Akademi Tan Boon Heong, di sini hari ini.
BWF sebelum ini mengumumkan tempoh kelayakan ke Olimpik 2024 bermula dari 1 Mei 2023 hingga 28 April 2024 dan jumlah kuota bagi acara-acara badminton kekal 172 tempat melibatkan 86 lelaki dan 86 wanita.
Bagi acara beregu, setiap negara mempunyai kuota maksimum dua tempat jika kedua-dua pasangan berada di kedudukan lapan terbaik pada tarikh kelayakan dan harus ada sekurang-kurangnya satu pasangan daripada setiap lima konfederasi benua, dengan syarat mereka berada dalam ranking 50 terbaik.
Terdahulu, lebih 600 peserta dari dalam dan luar negara telah menyertai kejohanan yang julung kali dianjurkan akademi badminton milik bekas pemain berumur 36 tahun itu.
Beliau berharap kejohanan yang dianjurkan khusus bagi mencungkil bakat baharu badminton dapat diperluaskan pada tahun hadapan.
— BERNAMA