Enam pemain jadi sandaran ke Olimpik Paris

Kuala Lumpur: Kem ping pong negara meletakkan harapan di bahu enam pemain bagi menamatkan penantian 36 tahun negara untuk kembali mempunyai wakil di Sukan Olimpik pada edisi 2024 di Paris.

Jurulatih skuad kebangsaan Beh Lee Wei berkata pemain tersebut melibatkan tiga wakil lelaki iaitu Choong Javen, Leong Chee Feng dan Wong Qi Shen, manakala selebihnya daripada skuad wanita dibarisi Alice Chang, Ho Ying serta Karen Lyne.

Lee Wei berkata peluang Malaysia untuk kembali menjejakkan kaki di pentas Olimpik masih belum tertutup memandangkan kesemua pemain tersebut boleh merebut slot untuk ke Paris 2024 menerusi kejohanan kelayakan peringkat Asia nanti.

“Peluang masih ada buat kita kerana saya difahamkan masih terdapat slot untuk pemain dari Asia Tenggara yang ditawarkan dalam kejohanan kelayakan itu nanti, namun lokasi dan tarikh pertandingan belum diumumkan,” katanya.

Secara realistiknya, bekas pemain kebangsaan itu berkata Malaysia berpotensi menghantar wakil bagi acara perseorangan lelaki, wanita mahupun beregu bercampuran pada temasya sukan terbesar dunia tersebut.

Kali terakhir Malaysia mempunyai wakil pada Sukan Olimpik adalah menerusi penyertaan dua pemain wanita iaitu Lau Wai Cheng dan Leong Mee Wan pada edisi 1988 di Seoul.

Sukan Olimpik 2024 dijadual berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos.

Selain fokus untuk layak ke temasya berprestij itu, Lee Wei berkata pihaknya juga akan menilai prestasi pemain pada Kejohanan Ping Pong Malaysia ke-58 yang bermula hari ini hingga Sabtu di Segamat, Johor.

Penerima anugerah Jurulatih Wanita Kebangsaan Anugerah Sukan Negara 2022 itu, berkata kejohanan di Johor akan dijadikan platform menentukan barisan akhir pemain ke Kejohanan Ping Pong Berpasukan Dunia Akhir 2024 di Busan, Korea Selatan dijangka bermula 16 hingga 25 Feb depan.

“Kami akan umum sasaran di Korea Selatan bulan depan selepas kejohanan di Johor berakhir,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata barisan kejurulatihan juga merancang memberi lebih banyak tumpuan bagi memantapkan skuad junior negara tahun depan.-Harian Metro